Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

160) PEMBANGUNAN SEMULA BANDAR

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Selangor dalam membangunkan semula kawasan-kawasan lama di bandar-bandar yang sudah tepu pembangunannya?

    Dalam usaha untuk menangani isu kawasan-kawasan lama di bandar-bandar yang sudah tepu pembangunannya, Kerajaan Negeri Selangor telah mengenal pasti pendekatan pembaharuan semula bandar (urban renewal) sebagai satu kaedah untuk meningkatkan kualiti kawasan-kawasan perbandaran dan penempatan yang terpinggir, usang, terbiar dan tidak ekonomik sekaligus meningkatkan kualiti hidup dan memberdayakan masyarakat bandar di Negeri Selangor.

     

    Lanjutan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor yang bersidang pada 12 hingga 14 Disember 2018 telah memutuskan PLANMalaysia@Selangor dan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) untuk menyediakan Garis Panduan Pembaharuan Semula dalam memudahcara agensi dan pemaju untuk melaksanakan pembangunan semula di kawasan bandar lama di Negeri Selangor.

     

    Selain daripada itu, PLANMalaysia@Selangor juga telah melaksanakan satu Kajian Pengenalpastian Kawasan-Kawasan Brownfield Di Negeri Selangor pada Tahun 2014 (inventori) dan setelah siapnya kajian tersebut, pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mula mengambil tindakan bagi melaksanakan usaha-usaha pemulihan semula di kawasan yang melibatkan 11 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

  2. Berapa banyak kawasan yang telah dibangunkan semula dan apakah kejayaan mengatasi masalah sebelum pembangunan semula?

    Untuk memastikan isu-isu berkaitan pembaharuan semula penempatan bandar dapat diselesaikan serta pelaksanaannya berjalan dengan lancar, Kerajaan Negeri Selangor pada 5 April 2018 telah menubuhkan dua (2) Jawatankuasa Khas “task force” melalui Pekeliling Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor Bil. 4 Tahun 2018 iaitu:

     

    1. Jawatankuasa Induk Pembangunan Pembaharuan Semula Bandar dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar; dan

     

    1. Jawatankuasa Pemilihan Pemaju / Kontraktor dipengerusikan oleh Pengarah, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor.

     

    Pada 8 Julai 2020, Jawatankuasa Induk Pembangunan Pembaharuan Semula Bandar yang dipengerusikan oleh EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar & Pembangunan Usahawan pada ketika itu telah bersidang buat pertama kali bagi membincangkan cadangan Pembangunan Semula 1720 unit Rumah Pangsa Kos Rendah di Pandan Jaya, Hulu Langat oleh Million Tiara (M) Sdn. Bhd.

  3. Nyatakan pelan pembangunan kawasan-kawasan bandar dan kemasukan zon pembangunan semula dalam Rancangan-rancangan Tempatan di kawasan-kawasan PBT.

    Secara umum, Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 dan Rancangan-Rancangan Tempatan yang disediakan di Negeri Selangor telah menetapkan supaya kawasan bangunan usang, terbengkalai, brownfield dan reka bentuk yang tidak harmoni dengan pembangunan semasa, akan dikenal pasti dalam Rancangan Tempatan untuk dibangunkan semula. Terma yang diguna pakai di dalam RT bagi tujuan tersebut adalah seperti pembangunan semula bandar (urban redevelopment), penjanaan semula bandar (urban regeneration) dan penyegaran semula bandar (urban revitalisation). Walaupun berbeza secara definisi namun tujuannya adalah sama iaitu mentransformasi penempatan yang tidak ekonomik kepada sesuatu pembangunan yang lebih mampan dan sejahtera.

     

    Bagi menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri untuk menangani isu-isu tersebut, dasar-dasar di peringkat negeri juga telah digubal iaitu Pembangunan Baru Perlu Mengutamakan Tapak-Tapak Dalam Kawasan Perbandaran Sedia Ada Melalui Pembangunan Secara Infill, Pembangunan Tapak Brownfield dan Pembaharuan Bandar (Urban Renewal) serta Dasar Insentif Galakan Pembangunan Pembaharuan Semula Bandar (Redevelopment) Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.