Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
159) PEMUTIHAN KILANG-KILANG HARAM
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapa bilangan kilang-kilang haram yang wujud dari awal pembentukan Jawatankuasa Tetap Kilang Haram sehingga sekarang mengikut kawasan majlis yang ada?
Program pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran bermula pada 31 Julai 2006 dan program ini telah disambung sebanyak tujuh (7) kali bermula daripada 26 Jun 2006 sehingga 31 Disember 2020. Bancian yang dibuat sehingga Disember 2004 sebanyak 3165 buah kilang tanpa kebenaran yang telah dikesan dan dikenalpasti. Walau bagaimanapun, pada tahun 2007 MMKN telah memutuskan perusahaan seperti Bengkel, Kotej Industri dan Industri Kecil Sederhana (IKS) dikeluarkan daripada program pemutihan kilang tanpa kebenaran.
Seterusnya, tempoh masa bancian juga telah dilanjutkan daripada 11 September 2008 sehingga 31 Disember 2015 dan berdasarkan bancian yang telah dibuat, terdapat sebanyak 2523 buah Lot dan 2996 buah kilang yang telah dikenalpasti. Bagi memberi peluang terakhir kepada semua pemilik tanah dan pengusaha kilang, melalui MMKN yang ke 24/2019 pada 21 Ogos 2019 yang telah disahkan pada MMKN ke 25/2019 pada 28 Ogos 2019 juga telah meluluskan satu dasar baru bagi kilang-kilang yang beroperasi tanpa kebenaran, iaitu Program Pematuhan Syarat Dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran Di Negeri Selangor.
Program ini perlu dilaksanakan dan dipatuhi oleh semua pemilik tanah dan/atau pengusaha kilang tanpa kebenaran bagi menjalankan aktiviti perniagaan mereka sebelum tindakan penguatkuasaan diambil. Untuk makluman, berdasarkan data terbaru yang diperolehi terdapat sebanyak 4728 Lot dan 5755 buah kilang yang terlibat didalam program ini sehingga 31 Disember 2020. Perincian maklumat berkaitan lot dan kilang yang terlibat adalah seperti di jadual berikut :
-
Berapa banyak kilang-kilang haram yang telah diputihkan mengikut kawasan majlis yang kilang-kilang tersebut berada?
Berdasarkan bancian serta data yang diperolehi setakat 31 Disember 2020, sebanyak 363 Permohonan yang telah dibuat dan dilakukan oleh pemilik tanah dan pengusaha kilang tanpa kebenaran di seluruh daerah di dalam Negeri Selangor. Manakala sebanyak 196 permohonan yang telah diluluskan dan 10 permohonan yang telah ditolak, 13 permohonan ditangguhkan serta 144 permohonan yang masih dalam penelitian dan tindakan. Perincian maklumat berkaitan dengan kilang yang telah diputihkan adalah seperti di jadual berikut:
-
Apakah berlaku kewujudan kilang-kilang haram yang baru selepas pembentukan Jawatankuasa Tetap yang khusus bagi menangani permasalahan? Bentangkan perancangan usaha menghapuskan kilang-kilang haram, rancangan jangka pendek dan jangka panjang.
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah diarahkan untuk membuat pemeriksaan, tinjauan dan juga bancian terhadap kilang-kilang yang telah dibina atau didirikan sebelum 28 Ogos 2020. Ini adalah bermakna tiada lagi kewujudan kilang-kilang haram yang baru atau kilang yang beroperasi tanpa kebenaran yang sah. Walau bagaimanapun, pemantauan secara berkala akan dilakukan bagi mengenalpasti sekiranya masih terdapat sebarang kewujudan baharu kilang-kilang haram atau kilang-kilang yang beroperasi tanpa kebenaran yang sah ini.
Tambahan pula, untuk perancangan usaha dalam menghapuskan kilang-kilang tanpa kebenaran ini pula, pihak-pihak yang berkaitan seperti Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Selangor, Pejabat-pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan dan lain-lain agensi akan bekerjasama dalam menjalankan tindakan penguatkuasaan bagi meminimum atau memastikan tiada lagi pengoperasian kilang-kilang tanpa kebenaran ini dijalankan.
Untuk makluman juga, penggunaan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi tindakan Penguatkuasaan Pelanggaran Syarat Tanah di bawah Seksyen 127 hingga 129 dan Pelucuthakan di bawah Seksyen 130 Kanun Tanah Negara (Akta 828) serta Garis Panduan Tindakan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) di Negeri Selangor akan diselaras dan digunakan oleh setiap daerah dan juga pihak berkuasa tempatan bagi membendung masalah kilang tanpa kebenaran ini daripada menjadi lebih kritkal.
Oleh yang demikian, berdasarkan usaha yang telah dirancang dan sedang dilaksanakan ini, masalah-masalah yang berkaitan kilang tanpa kebenaran ini dapat diminimakan dan sekaligus dapat dielakkan.