Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

110) STRUKTUR KUASA DAN PENGARAHAN

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Pencapaian program vaksinasi banyak bergantung kepada kejelasan struktur kuasa dan arahan kerja. Di bawah kuasa darurat, apakah halangan yang sedang dihadapi dalam hubungan antara Pusat, Negeri dan PBT?

    Umumnya, apabila menyebut berkenaan kuasa atau arahan yang perlu dipatuhi semasa tempoh Darurat, dari sudut perundangannya, Kerajaan Negeri adalah tertakluk kepada Ordinan-Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) selaras dengan Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa arahan atau Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sepanjang tempoh Darurat berkuat kuasa iaitu mulai 11.1.2021 hingga 1.8.2021.

    Dalam tempoh Darurat, kuasa eksekutif Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang wujud sebelum Darurat adalah kekal. Ini termasuk juga kuasa perundangan untuk membuat undang-undang subsidiari di bawah undang-undang bertulis Negeri boleh dijalankan oleh orang yang diberi kuasa oleh undang-undang itu (rujuk seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 (“Ordinan Darurat”)).

    Seterusnya, dalam tempoh darurat, apa-apa kuasa yang diberikan di bawah Ordinan Darurat adalah sebagai tambahan dan bukan menggantikan kuasa yang sedia ada di bawah mana-mana undang-undang bertulis Negeri yang sedang berkuat kuasa. Walau bagaimanapun, jika sekiranya undang-undang bertulis Negeri itu bercanggah dengan peruntukan Ordinan Darurat, peruntukan Ordinan Darurat adalah mengatasi peruntukan undang-undang bertulis Negeri tersebut (rujuk seksyen 17 dan 18 Ordinan Darurat).

    Justeru itu, Kamar berpandangan bahawa kuat kuasa undang-undang bertulis Negeri tidaklah terhenti dengan wujudkan Ordinan Darurat dan undang-undang bertulis Negeri boleh dikuatkuasakan sepanjang tempoh Darurat setakat mana peruntukan undang-undang bertulis Negeri itu tidak bercanggah dengan peruntukan Ordinan Darurat.

    Oleh yang demikian, bagi memastikan program vaksinasi dapat dicapai sepertimana yang dihasratkan oleh Kerajaan Negeri, semasa tempoh Darurat itu, dari sudut perundangannya, Kerajaan Negeri mahupun PBT tidaklah terhalang di sisi undang-undang untuk menjalankan kuasanya sebagaimana yang diperuntukkan dalam mana-mana undang-undang Negeri yang berkuat kuasa. Walau bagaimanapun, apa-apa kuasa atau arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri mahupun PBT hendaklah tertakluk kepada Ordinan-Ordinan Darurat dan arahan atau SOP yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa oleh pihak KKM dan MKN.

Lampiran

Tiada Lampiran.