Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

100) MESYUARAT YANG BERKAITAN DENGAN PJD LINK

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila butirkan semua mesyuarat Kerajaan Negeri yang berkaitan dengan projek PJD Link.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah mewujudkan satu platform perbincangan dalam memastikan pembinaan dan penyelenggaraan lebuhraya di Selangor disegerakan, serta tidak mendatangkan kesukaran kepada pengguna jalan raya dan penduduk sekeliling melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Lebuhraya di dalam Negeri Selangor yang diurus setiakan oleh PLANMalaysia@Selangor serta mesyuarat penyelarasan pemantauan lebuhraya secara project-based bagi memantau pembinaan lebuhraya serta menyelesaikan isu secara bersama dengan jabatan dan agensi serta pihak konsesi yang terlibat.

    Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Lebuhraya Di Dalam Negeri Selangor telah ditubuhkan bertujuan untuk memantau pelaksanaan semua projek lebuhraya di dalam Negeri Selangor dengan mematuhi segala syarat yang ditetapkan. Terkini, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Ke 13/2021 pada 6 April 2021 telah bersetuju dengan penjenamaan semula serta perluasan skop mesyuarat ini kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Lebuhraya dan Infrastruktur di dalam Negeri Selangor.

    Selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Ke 42/2020, iaitu mana-mana lebuhraya yang telah mendapat kelulusan perlu dibentangkan dan dilaporkan lebih awal oleh syarikat konsesi di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Lebuhraya di dalam Negeri Selangor bagi memantau dan menangani hal-hal berkaitan sebelum pembinaan, semasa pembinaan dan selepas pembinaan.

    Dalam hal ini, Projek PJD Link telah mendapat kelulusan prinsip di peringkat Kerajaan Persekutuan pada 4 Ogos 2017 dan Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 34/2020 pada 30 September 2020 telah menimbang dan bersetuju secara dasar dengan cadangan projek PJD Link dan bersetuju ianya dilaksanakan mengikut tatacara pemprosesan permohonan secara rundingan di bawah Seksyen 20A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

    Projek PJD Link ini telah dibincangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Lebuhraya dan Infrastruktur di dalam Negeri Selangor yang telah diadakan pada 27 April 2021 yang dipengerusikan oleh YB. Tuan Ir. Izham bin Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh semua jabatan dan agensi Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan yang berkaitan.

    Memandangkan projek ini adalah projek Kerajaan Persekutuan, maka banyak mesyuarat berkaitan telah diadakan di peringkat Kerajaan Persekutuan serta dihadiri oleh jabatan dan agensi di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Negeri Selangor.

    Bagi mesyuarat penyelarasan pemantauan lebuhraya secara project-based pula akan diadakan secara berkala berdasarkan kepada isu-isu yang mungkin timbul setelah projek tersebut diberikan kelulusan dasar. Dalam hal ini, mesyuarat diadakan bagi memudahcara perkara-perkara yang melibatkan jabatan dan agensi Kerajaan Negeri.

  2. Sila butirkan pengerusi bagi setiap mesyuarat tersebut serta agensi yang dijemput hadir.

    sama seperti di atas (a)

Lampiran

Tiada Lampiran.