Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
80) NILAI HAKMILIK NO. 7210 LOT 17394 MUKIM DAMANSARA DAERAH PETALING
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah harga atau nilai hakmilik Subang Ria Park iaitu No. 7210, Lot 17394, Mukim Damansara, Daerah Petaling berdasarkan penilaian MBSJ bahagian JPPH yang baru dilaksanakan pada bulan Jun?
Pihak MBSJ telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Shah Alam (JPPH Shah Alam) pada 22 Mac 2021 untuk menyediakan Laporan Penilaian Pasaran Semasa Hartanah bagi hartanah Taman Tasik Subang Ria, SS 12 di atas hak milik Lot 17394, Pajakan Negeri 7210, Mukim Damansara, Daerah Petaling, Selangor Darul Ehsan.
Laporan Penilaian Tanah telah diserahkan kepada pihak Majlis pada 31 Mei 2021.
JPPH Shah Alam telah mengemukakan pendapat nilaian di mana Nilai Pasaran Semasa Tanah bagi Lot 17394, Pajakan Negeri 7210, Taman Subang Ria pada 13 April 2021 adalah RM58,700,000.00
-
Sila nyatakan kaedah penilaian.
Kaedah penilaian yang digunapakai oleh JPPH Shah Alam adalah merupakan kaedah perbandingan nilai pasaran semasa tanah di mana perkara-perkara berikut telah diambil kira dalam penentuan nilaian:-
(i) Tarikh nilaian pada 13 April 2021;
(ii) Nilaian berdasarkan Kategori kegunaan tanah ‘Tiada’ dengan syarat nyata ‘Tanah ini hendaklah digunakan semata-mata untuk taman rekreasi dan bangunan yang berkaitan dengannya’;
(iii) Nilaian berdasarkan pegangan pajakan 99 tahun dengan baki pajakan 66 tahun;
(iv) Keluasan tanah berdasarkan hakmilik iaitu 29.39 hektar (293,900.00 meter persegi);
(v) Nilaian hanya melibatkan tanah sahaja tanpa mengambilkira sebarang pembangunan infrastruktur serta bangunan/struktur di atasnya;
(vi) Zoning semasa lot subjek iaitu tanah lapang untuk kegunaan sukan dan rekreasi;
(vii) Hakmilik bebas dari sebarang sekatan dan bebanan; dan
(viii) Tapak/tanah dengan pemilikan kosong.