Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
37) CSR MBI – PEMBINAAN, PENYELENGGARAAN, DAN PENGIMARAHAN MASJID/SURAU ATAU INSTITUSI AGAMA
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sejauh manakah Kerajaan melibatkan pihak ADUN dalam usaha menguatkan hubungan antara ADUN dan institusi-institusi agama ini dalam program tersebut?
Dalam program-program Kerajaan Negeri melalui MBI seperti program Jelajah Ramadhan Kita Selangor yang melibatkan YAB Dato’ Menteri Besar, keterlibatan ADUN dan institusi-institusi agama adalah amat dititikberatkan.
Program Jelajah Ramadhan Kita Selangor yang melibatkan peruntukan MBI adalah di 5 daerah iaitu di Gombak, Klang, Hulu Langat, Hulu Selangor dan Sabak Bernam yang melibatkan penyerahan sumbangan kepada 177 buah masjid. Program-program ini diadakan bersama dengan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) dan turut dihadiri oleh ADUN dan juga Pegawai-pegawai dari Pejabat Daerah serta Pihak Berkuasa Tempatan.
Selain daripada itu, MBI turut mempunyai kerjasama yang baik dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE). MBI juga sentiasa menyemak aduan yang berkaitan dengan golongan asnaf bersama LZS. Semasa Ramadhan yang lalu, MBI juga berkerjasama dalam program sumbangan juadah berbuka puasa kepada rumah-rumah anak yatim kelolaan YIDE.
Bagi memastikan hubungan antara ADUN dengan komuniti setempat dapat diperkasakan, ADUN-ADUN dijemput untuk menyampaikan sumbangan kepada masjid-masjid dan surau-surau di kawasan mereka.
-
Apakah mekanisma yang diguna pakai oleh Kerajaan untuk memastikan bahawa sebarang bentuk sumbangan dari MBI dapat dimaklumkan kepada pihak ADUN?
MBI menerima banyak permohonan sumbangan yang melibatkan pelbagai kategori yang telah diajukan sendiri oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN. Contoh permohonan yang diterima adalah seperti permohonan untuk aktiviti keagamaan, permohonan untuk kebajikan masyarakat dan permohonan untuk pendidikan. Permohonan ini akan diteliti dan diluluskan mengikut tatakelola yang diamalkan oleh MBI.
MBI juga akan terus berhubung dengan ADUN yang membuat permohonan untuk terlibat sama menyampaikan sumbangan kepada komuniti di kawasan mereka.