Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

34) PENIAGA KECIL

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri bagi menyelaraskan penempatan lambakan penjaja kecil dalam tempoh PKP ini?

    Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kerajaan Negeri telah memutuskan agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempermudah dan mempercepatkan kelulusan Lesen Penjaja Sementara sama ada secara manual atau dalam talian. PBT juga telah diminta untuk membantu para peniaga mengenal pasti tapak/ lokasi yang lebih banyak dan sesuai untuk dijadikan tapak penjaja sementara. Ini bagi memastikan kawalan keselamatan dan laluan trafik adalah terkawal dan mengelakkan kacau ganggu kepada masyarakat sekitar.

     

  2. Apakah inisiatif oleh Kerajaan Negeri dalam membantu penjaja kecil dalam tempoh PKP?

    Antara inisiatif bagi membantu penjaja dan peniaga kecil di Negeri Selangor dalam tempoh PKP adalah seperti berikut:

    (i) Pengecualian sewa premis milik PBT bagi bulan April dan Mei 2020 (semua premis) serta Jun dan Julai 2021 (bagi premis tidak beroperasi sahaja).

    (ii) Insentif One-Off RM500 kepada penjaja dan peniaga kecil yang berlesen pada tahun 2020.

    (iii) Insentif One-Off RM500 kepada penjaja Bazar Ramadan berlesen tahun 2021 di kawasan sembilan (9) PBT.

    (iv) Menawarkan food truck dengan harga berpatutan melalui Koperasi Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah).

    (v) Membantu peniaga memasar dan mempromosikan peniagaan secara dalam talian melalui platform PLATS.

    (vi) Memperkenalkan Skim Program Pembiayaan melalui Yayasan Hijrah untuk pembelian pakej ePOS.

    (vii) Memperkenalkan Data Internet Selangor: Data Percuma 12 Bulan untuk membantu golongan peniaga dan penjaja.

    (viii) Mempercepat proses vaksinasi kepada penjaja kecil sama ada melalui Program Vaksin Selangor (SELVAX) atau Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK).

Lampiran

Tiada Lampiran.