Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

25) JALAN MAXWELL & JALAN WELMAN RAWANG

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Siapakah yang bertanggungjawab ke atas penyelenggaraan Jalan Maxwell dan Jalan Welman Rawang?

    Semakan pihak Jabatan Kerja Raya mendapati Jalan Wellman yang dimaksudkan adalah berada di jajaran FT001 Kuala Lumpur-Ipoh. Ianya termasuk dalam skop penyenggaraan dan telah pun sedia ada disenggara oleh pihak konsesi yang dilantik.

    Daripada rekod Jabatan Kerja Raya, didapati Jalan Maxwell tidak termasuk di dalam seliaan dan di luar skop penyenggaraan Jabatan ini.

    Pihak JKR mencadangkan agar Jalan Wellman diambil alih oleh pihak MPS oleh kerana secara dasarnya jalan tersebut telah bertukar berfungsi sebagai jalan bandar bagi kegunaan penduduk setempat berbanding jalan utama menghubungkan bandar ke bandar. Cadangan ini juga bagi mengelakkan pertindihan bidang kuasa antara JKR dan MPS bagi jajaran yang sama.

  2. Apakah rancangan keseluruhan bagi menyelesaikan masalah banjir di Jalan Maxwell?

    Untuk makluman, kejadian banjir di Jalan Maxwell berlaku disebabkan oleh sistem saliran dalaman yang tidak dapat menampung air larian di sepanjang Jalan Maxwell. Bagi mengurangkan impak banjir, JPS telah melaksanakan Kerja-Kerja Menaiktaraf Sistem Saliran Dan Kerja-Kerja Lain Yang Berkaitan Di Bandar Rawang Fasa 2, Mukim Rawang, Daerah Gombak, Selangor Darul Ehsan pada tahun 2015 dengan menggunakan peruntukan caruman parit yang mana skop utama adalah membekal dan memasang 2 unit pam. Pam tersebut beroperasi secara manual di mana operator akan mengaktifkan pam apabila kejadian hujan lebat berlaku. Air larian dialir keluar ke sungai berdekatan iaitu ke Sungai Rajah.

    JPS juga mencadangkan supaya Pihak Berkuasa Tempatan juga memainkan peranan penting dalam menyelenggara saliran dalaman dan menaiktaraf sistem saliran bagi menampung air larian yang tinggi berikutan pembangunan pesat kawasan sekitar.

  3. Bilakah longkang dan jalan di Jalan Maxwell dan Jalan Welman dapat dibaik pulih?

    Bagi kerja-kerja baik pulih (penyenggaraan) longkang Jalan Wellman, ianya telah dimasukkan dalam permohonan kerja pembaikan untuk tahun 2022 manakala baik pulih (penyenggaraan) jalan akan dilaksanakan pada Ogos 2021.

    Bagi Jalan Maxwell, ianya di luar seliaan dan skop penyenggaraan pihak JKR.

Lampiran

Tiada Lampiran.