Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

262) KERJASAMA DENGAN JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT (JKM)

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri bersedia untuk bekerjasama dengan JKM untuk mengenalpastikan keperluan golongan miskin?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri      Selangor telah lama menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Bantuan Am Negeri merupakan salah satu program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang juga merupakan salah satu program di bawah Skim Bantuan Kewangan Negeri bertujuan menyantuni untuk golongan rakyat miskin yang tidak berkemampuan dan berkeperluan untuk meneruskan kelangsungan kehidupan di dalam komuniti.

    Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor berperanan mengenalpasti golongan miskin yang memerlukan dan menerusi Program Bantuan Am Negeri ini, bantuan dengan tiga kadar iaitu RM250, RM300 dan RM350 sebulan dipertimbangkan kepada keluarga miskin dan kumpulan sasar lain yang memerlukan. Pemberian bantuan kewangan ini dikreditkan ke dalam akaun penerima pada setiap bulan mengikut tempoh yang telah diluluskan dan untuk tahun 2021 sehingga kini sebanyak RM9,555,580.00 (Sembilan Juta, Lima Ratus Lima Puluh Lima Ribu, Lima Ratus Lapan Puluh Ringgit) telah pun dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri dan dimanfaatkan oleh seramai 5230 penerima.

    Sehubungan dengan itu, antara lain Skim Bantuan Kewangan Negeri yang dikenalpasti memenuhi keperluan golongan miskin adalah Bantuan Latihan Perantis. Bantuan dengan kadar RM250 sebulan ini dipertimbangkan  kepada  anak-anak penerima bantuan yang tercicir daripada persekolahan, menganggur serta bekas pelatih atau bekas penghuni institusi kebajikan untuk mendapatkan latihan kemahiran atau latihan bekerja di dalam sesuatu bidang. Sehingga Ogos 2021, sebanyak RM39,000.00 telah pun dibelanjakan dan dimanfaatkan oleh seramai 23 kes penerima.

    Selain daripada itu, untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menghulurkan tangan membantu golongan yang berkeperluan melalui Bantuan Pemulihan Bencana Negeri, yang juga merupakan salah satu program di bawah Skim Bantuan Kewangan Negeri. Bantuan Pemulihan Bencana Negeri dengan kadar maksimum RM5,000.00 kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan kes-kes bencana alam seperti kebakaran, ribut, banjir dan tanah runtuh. Untuk tahun 2021 sehingga kini, sebanyak RM66,460.00 telah pun dibelanjakan dan dimanfaatkan oleh seramai 39 kes/ penerima.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Jabatan Kebajikan Masyarakat berperanan sepenuhnya (100%) di dalam proses permohonan, pemilihan penerima, siasatan, tindakan sehinggalah sesuatu keputusan dibuat. Namun yang demikian, Yang Berhormat ADUN boleh memanjangkan sebarang pertanyaan atau permohonan kepada Jawatankuasa Tetap Kebajikan Masyarakat untuk dibincang dan diteliti bersama pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Secara keseluruhannya, peruntukan tahun 2021 bagi Skim Bantuan Kewangan Negeri ini adalah sebanyak RM13,756,031.76                  (Tiga Belas Juta, Tujuh Ratus Lima Puluh Enam Ribu, Tiga Puluh Satu Ringgit, Tujuh Puluh Enam Sen) dan perbelanjaan yang telah dilakukan setakat ini adalah sebanyak RM9,661,040.00 (Sembilan Juta, Enam Ratus Enam Puluh Satu Ribu, Empat Puluh Ringgit) yang merangkumi Bantuan Am Negeri, Bantuan Latihan Perantis dan Bantuan Pemulihan Bencana.

    Yang Berhormat, usaha Kerajaan Negeri bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu meringankan kesusahan/ bebanan golongan miskin yang bekeperluan termasuklah dari sudut ekonomi, fizikal, emosi dan sebagainya tidak terhenti di sini. Malahan beberapa program bersasar telah pun dirancang dan dirangka untuk memenuhi kebajikan golongan ini di masa akan datang.

     

    Maklumat Tambahan :

     

    1. Peruntukan daripada Kerajaan Negeri Selangor bagi Tahun 2021

     

     

    SKIM BANTUAN

    PERUNTUKAN DITERIMA TAHUN 2021 (RM)
    PERSEKUTUAN RM151,809,500.00
    NEGERI (Bantuan Am, Bantuan Latihan Perantis dan Bantuan Pemulihan Bencana  

    RM13,756,031.76

     

    1. Senarai program-program bantuan lain di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada golongan berkelayakan adalah seperti berikut :-

     

    2.1       Bantuan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah dengan kadar  RM150 hingga maksimum RM1,000.00 kepada keluarga miskin  atau ibu/ bapa tunggal;

    2.2       Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) dengan kadar RM450 sebulan kepada OKU yang bekerja dengan pendapatan kurang RM1,500.00 sebulan sebagai insentif supaya mereka terus bekerja;

    2.3       Bantuan Orang Kurang Upaya Tidak Berupaya Bekerja (BTB) dengan kadar RM300 sebulan kerana keadaan kecacatan mereka yang teruk dan tidak berupaya untuk bekerja;

    2.4       Bantuan Penjagaan Orang Kurang Upaya Terlantar dan Pesakit Kronik Terlantar (BPT) dengan kadar RM500 sebulan bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan keluarga serta memastikan penjagaan yang berkualiti;

    2.5       Bantuan Warga Emas (BWE) dengan kadar RM500 sebulan kepada warga emas yang tidak mempunyai pendapatan untuk meneruskan kehidupan seharian;

    2.6       Bantuan Anak Pelihara dengan kadar RM250 sebulan hingga maksimum RM500 sebulan sekeluarga bagi meringankan tanggungan keluarga pelihara yang sanggup menjaga anak-anak pelihara seperti anak sendiri;

    2.7       Bantuan Geran Pelancaran dengan kadar RM2,700.00 sekaligus kepada kumpulan sasar bagi memulakan projek atau pekerjaan yang boleh mendatangkan pendapatan ke arah berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan bulanan selama-lamanya; dan.

    2.8       Bantuan Alat Tiruan/ Sokongan dengan kadar sebenar alat tiruan/ sokongan tersebut bagi membantu kumpulan sasar yang tidak berkemampuan untuk membeli alat tiruan atau alat sokongan seperti kaki palsu, kerusi roda, alat pendengaran dan lain-lain yang bersesuaian dan diperlukan.

  2. Kalau ya, apakah bantuan yang akan dilaksanakan bersama JKM?

    Soalan (a) dan (b) dijawab bersekali.

Lampiran

Tiada Lampiran.