Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

259) BERAPAKAH JUMLAH RUMAH YANG TELAH DIBAIKI PADA TAHUN 2021

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Ahmad Mustain Bin Othman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah peruntukan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi maksud membaik pulih rumah bagi tahun 2021 dan berapakah jumlah rumah yang telah dibaiki?

    1. Untuk makluman Yang Berhormat Sabak, Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin adalah merupakan inisiatif Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin dalam membantu golongan miskin untuk memiliki kediaman yang lebih selesa dan sempurna untuk didiami. Program ini dipecahkan kepada dua (2) bentuk bantuan iaitu bina baru sebuah rumah rumah 3 bilik yang berkeluasan 660 kaki persegi dan membaik pulih kerosakan asas rumah. Daripada tahun 2017 sehingga kini, had siling bagi bantuan membina baru sebuah di bawah program ini adalah kekal sebanyak RM50,000.00 manakala had siling bagi bantuan membaik pulih rumah juga adalah kekal sebanyak RM20,000.00 maksimum bagi sebuah rumah bergantung kepada kerosakan yang dialami. Setiap kos pembaikan rumah adalah dianggarkan oleh bahagian teknikal Pejabat Daerah dan Tanah yang berkenaan. Setiap kelulusan di bawah Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Rumah yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat EXCO.

     

    Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi tahun 2021 untuk membantu golongan miskin dan kurang berkemampuan dapat menikmati rumah yang selesa dan selamat untuk didiami.

     

    Untuk makluman Yang Berhormat Sabak juga, permohonan Bantuan Rumah di bawah Program Kerajaan Prihatin adalah terbuka kepada seluruh rakyat di negeri Selangor dan tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan. Di bawah program ini, Kerajaan Negeri Selangor telah membantu ramai keluarga bagi mendapatkan sebuah rumah yang selesa untuk didiami. Bagi tahun 2021, sebanyak dua (2) Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Rumah Kerajaan Prihatin telah diadakan secara dalam talian melibatkan empat (4) daerah di negeri Selangor. Justeru, seramai 19 keluarga telah dibantu di bawah program ini merangkumi bantuan bina baru rumah dan bantuan baik pulih rumah. Pecahan penerima Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin tahun 2021 adaah seperti berikut:

     

    PERKARA JUMLAH PENERIMA
    Bantuan Bina Baru Rumah 7
    Bantuan Baik Pulih Rumah 12
    JUMLAH 19

     

    Untuk makluman Yang Berhormat Sabak juga, masih terdapat baki 5 daerah yang masih dalam tindakan untuk diberikan kelulusan tertakluk kepada prosedur semasa. Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk memberi komitmen terbaik dalam membantu kesemua permohonan yang dikenal pasti layak terutama pada situasi semasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.