Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
254) STATUS PENYAHWARTAAN HUTAN SIMPAN KUALA LANGAT UTARA
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU)?
Berdasarkan kepada keputusan MMKN Ke-17/2021 bertarikh 5 Mei 2021 yang disahkan oleh MMKN Ke-18 bertarikh 19 Mei 2021, hanya seluas ±536.70ha @ ±1,326.3382 ekar daripada keseluruhan kawasan HSK Kuala Langat Utara ini telah diluluskan untuk dinyahwarta di bawah Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985. Kelulusan penyahwartaan ini juga telah mengambil kira sebahagian kawasan HSKLU untuk penggantian Rizab Orang Asli Busut Baru iaitu seluas ±42.1ha @ ±103.9081 ekar bagi dirizabkan di bawah Seksyen 7, Akta Orang Asli 1954.
-
Apakah hasil sesi pendengaran awam pada September 2020?
Sesi pendengaran awam mengenai Cadangan Penyahwartaan HSKLU seluas ±991.90ha @ ±2,450 ekar telah diadakan pada 28 dan 29 September 2020. Sesi pendengaran awam ini telah menerima seramai 39 pihak yang menyuarakan bantahan lisan bagi mewakili 45,416 bantahan bertulis iaitu terdiri daripada orang awam, NGO, agensi kerajaan/insititusi awam dan swasta serta ADUN di negeri Selangor. Hasil daripada sesi pendengaran awam ini adalah terdapat 4 faktor utama bantahan dikemukakan iaitu seperti berikut;-
- Isu Alam Sekitar sebanyak 23 bantahan,
- Isu Kesan Biogeografi/ Flora/ Fauna sebanyak 21 bantahan
- Isu Kesan Sosio-ekonomi dan Sosial sebanyak 33 bantahan
- Lain-Lain Isu (Keselamatan, Integriti, Perundangan) sebanyak 27 bantahan
Maklumat bantahan ini telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Penyiasatan Awam pada 12 November 2020 dan dilaporkan kepada Pihak Berkuasa Negeri melalui MTES pada 20 Januari 2021. Hasilnya, MMKN Ke-4/2021 pada 27 Januari 2021 dan disahkan oleh MMKN Ke-4/2021 pada 3 Februari 2021 telah menerima Laporan Penuh Penyiasatan Awam ini.
-
Adakah konsultansi lain akan dilakukan dengan masyarakat Orang Asli dan pemegang taruh?
Sesi konsultasi bagi membincangkan mengenai cadangan penyahwartaan HSKLU telah selesai melalui sesi penyiasatan awam yang dilaksanakan pada tahun 2020. Sesi penyiasatan awam ini turut melibatkan masyarakat orang asli yang berhampiran dengan kawasan HSKLU dan semua pemegang taruh. Justeru, tiada lagi sesi konsultasi lain bagi perkara yang sama akan dijalankan.