Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
241) PRESTASI BAJET SELANGOR
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah sebab-sebab prestasi perbelanjaan Bajet 2021 Negeri Selangor sehingga Jun 2021 begitu rendah?
Prestasi perbelanjaan keseluruhan tahun 2021 bagi tempoh berakhir 31 Julai 2021 adalah 46.27% iaitu bersamaan dengan RM1.074 bilion berbanding peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.323 bilion. Jika dibuat perbandingan berdasarkan tahun 2020, bagi tempoh yang sama iaitu berakhir 31 Julai 2020, prestasi perbelanjaan keseluruhan mencatatkan 46.15% iaitu bersamaan dengan RM1.076 bilion. Jika dilihat perbandingan prestasi tahun 2020 dan 2021 adalah tidak ketara kadar perbezaannya.
Kerajaan Negeri sedia maklum bahawa prestasi perbelanjaan pembangunan berada di bawah tahap kurang dari 50% bagi tempoh berakhir 31 Julai 2021. Ini adalah disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga prosedur operasi standard (SOP) daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah membataskan pelaksanaan program dan projek yang dirancang.
-
Apakah langkah-langkah Kerajaan Selangor untuk meningkatkan prestasi perbelanjaan negeri dengan segera?
Bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.22 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.103 bilion bagi perbelanjaan pembangunan menjadikan keseluruhan peruntukan perbelanjaan adalah sebanyak RM2.323 bilion. Sehingga 31 Julai 2021, perbelanjaan mengurus dan pembangunan masing-masing merekodkan amaun perbelanjaan sebanyak RM648.27 juta atau 53.14% dan RM426.55 juta atau 38.67% daripada peruntukan yang telah dibelanjawankan.
Dalam memastikan kedudukan kewangan dan perbelanjaan berada dalam keadaan baik, Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan beberapa siri semakan semula belanjawan bagi memastikan setiap program atau projek yang tidak dapat dilaksanakan pada tahun ini distruktur semula berdasarkan keutamaan dan keperluan semasa. Memandangkan keperluan belanjawan pada tahun ini adalah menjurus kepada pemulihan ekonomi dan kesihatan awam, dua (2) pakej rangsangan ekonomi iaitu Pakej Kita Selangor telah diumumkan iaitu Pakej Kita Selangor 1.0 dan Pakej Kita Selangor 2.0 (2021) berjumlah RM627.44 juta. Perbelanjaan juga perlu berlandaskan kutipan hasil semasa. Unjuran hasil tahun 2021 juga telah disemak semula dan dianggarkan terdapat penurunan 10% daripada anggaran asal hasil iaitu dari RM2.2 bilion kepada RM1.98 bilion. Justeru, perbelanjaan juga perlu mengambil kira aliran tunai semasa yang terjejas dengan penurunan kutipan hasil tersebut.