Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

213) TAHAP KEBERSIHAN AWAM

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Tahap kebersihan awam kian menurun dalam tempoh PKP? Apakah usaha Kerajaan Negeri bersama KDEB bagi mengatasi masalah ini?

    Berdasarkan statistik aduan yang direkodkan di Centralized Command Center (CCC) KDEB Waste Management (KDEBWM) dari bulan Januari sehingga Jun 2021, secara puratanya terdapat peningkatan hampir 12 peratus ke atas jumlah aduan yang diterima berkenaan perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan awam. Peningkatan aduan ini telah dijangka kerana penjanaan sampah khususnya di kawasan perumahan turut meningkat sehingga 8 peratus ekoran ramai di kalangan rakyat yang bekerja dari rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagi memastikan tahap kebersihan awam berada pada paras yang memuaskan, KDEBWM akan terus memastikan perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan awam dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan. KDEBWM juga memberi jaminan semua aduan yang diterima akan diberikan maklum balas dan diselesaikan secepat mungkin.

    Perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan awam dalam tempoh PKP sememangnya agak mencabar kerana penglibatan masyarakat untuk bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran melalui aktiviti gotong-royong tidak dapat dianjurkan seperti biasa.

    Kerajaan Negeri melalui semua Pihak Berkuasa Tempatan bersama-sama KDEBWM akan terus memantau tahap kebersihan awam di Negeri Selangor dan dalam masa yang sama menyeru semua penduduk untuk sentiasa menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata kerana aspek kebersihan adalah tanggungjawab bersama.

  2. Masalah longgokkan sampah di kawasan pembuangan sampah haram kian meningkat berikutan lambakan penjaja, apakah langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri?

    Tindakan yang diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam dalam menangani pembuangan sampah di tapak sampah haram oleh penjaja adalah seperti berikut:-

    • Bagi lokasi yang didapati mempunyai sampah longgok, PBT akan membuat pembersihan secara in-house atau dengan kerjasama pihak KDEBWM dengan kadar segera bagi mengelakkan kawasan tersebut menjadi hotspot longgokan sampah haram;
    • PBT akan menjalankan rondaan berkala atau pemantauan secara rutin di kawasan yang sering dijadikan tempat (hotspot) longgokan sampah haram. PBT juga akan memohon kerjasama daripada agensi penguatkuasan lain seperti pihak Pejabat Daerah Dan Tanah, Polis Diraja Malaysia atau agensi penguatkuasaan berkaitan dalam menangani aktiviti tapak sampah haram;
    • Tindakan penguatkuasaan di bawah Undang-Undang Kecil Pembuangan, Pemungutan Dan Pelupusan Sampah Sarap Tahun 2007 akan diambil sekiraya pesalah didapati membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan oleh PBT;
    • Bagi mengawal penjaja melakukan aktiviti yang tidak dibenarkan, PBT akan memberi amaran secara lisan dan notis pemberitahuan kepada penjaja supaya mereka sedar dan tidak melakukan kesalahan tersebut;
    • PBT juga akan mengenakan syarat ke atas lesen/ permit penjaja supaya mereka mematuhi syarat-syarat yang digariskan antaranya tidak meninggalkan sisa di tapak berniaga, membuang sampah ke dalam di tong sampah yang disediakan oleh PBT dan tidak membuang sampah di kawasan yang tidak dibenarkan; dan
    • Sekiranya penjaja didapati melanggar syarat lesen/permit menjaja, lesen/ permit penjaja akan ditarik serta dibatalkan dan barang-barang penjaja akan disita.

Lampiran

Tiada Lampiran.