Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

202) SELVAX KOMUNITI

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa perbelanjaan kesuluruhan Kerajaan Negeri untuk program SELVAX Komuniti, termasuk perbelanjaan menggunakan peruntukan ADUN, peruntukan GLC dan sebagainya?

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan dari Lembah Jaya (N20) No. 86 (a) dan Rawang (N14) No.266 (b). Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pelaksanaan program Vaksin Selangor (SELVAX) yang bertujuan mempercepatkan usaha ke arah komuniti kelompok dibiayai melalui pinjaman Kerajaan Negeri kepada SELGATE Healthcare Sdn. Bhd. berjumlah RM200juta.  Jumlah ini adalah bersesuaian dengan keperluan dan kepentingan pelaksanaan program SELVAX dalam memastikan setiap warga Selangor yang layak mendapat suntikan vaksin dan seterusnya memastikan penularan Covid-19 dapat dikawal sepenuhnya.

     

  2. Berapa individu yang telah menerima suntikan vaksin SELVAX?

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan dari Sementa (N43) No. 194 (a), Bukit Melawati No.198 (a), Pandamaran (N47) No.246 (b), Sungai Panjang (N03) No.255, Sungai Burong (N08) No.256 (b) dan Rawang (N14) No.266 (a). Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Kerajaan Negeri menyedari bahawa usaha bagi mencapai imuniti kelompok perlu dipercepatkan agar sektor sosial dan ekonomi dapat dibuka secara berperingkat.

    Justeru, Kerajaan Negeri melalui SELGATE Healthcare Sdn. Bhd., sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Vaksin Selangor (SELVAX). SELVAX yang bertujuan melengkapi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan melibatkan vaksinasi kepada 1.25 juta warga Selangor yang terdiri daripada 250,000 orang awam yang akan menerima secara percuma dan 1 juta pekerja sektor industri dan ekonomi.  Sehingga 10 Ogos 2021, seramai122,358 individu telah menerima vaksinasi di bawah SELVAX Komuniti, manakala seramai 73,864 pekerja melalui SELVAX Industri.  SELVAX juga telah melaksanakan program vaksinasi secara walk in melalui kaedah pra-pendaftaran termasuk kepada warga asing bermula 3 Ogos sehingga 13 Ogos 2021.

    Melalui pelaksanaan program PICK dan SELVAX di Negeri Selangor, usaha bagi mencapai imuniti kelompok dapat dipercepatkan dan dijangka boleh dicapai menjelang bulan Oktober 2021.

  3. Adakah Kerajaan Negeri akan tuntut pampasan kewangan daripada Kerajaan Pusat untuk kos SELVAX?

    Pelaksanaan program SELVAX oleh Kerajaan Negeri adalah bertujuan meningkatkan kadar vaksinasi rakyat Negeri Selangor. Usaha ini juga adalah bagi melengkapi dan membantu usaha Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK) di peringkat Persekutuan.  Justeru itu, Kerajaan Negeri tidak berhasrat bagi menuntut pampasan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan berkaitan kos pelaksanaan SELVAX

Lampiran

Tiada Lampiran.