Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
198) PROGRAM VAKSIN NEGERI SELANGOR
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimanakah program SelVAX berjaya mempercepatkan imuniti kelompok?
Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan dari Sementa (N43) No. 194 (a), Bukit Gasing (N34) No.202 (b), Pandamaran (N47) No.246 (b), Sungai Panjang (N03) No.255, Sungai Burong (N08) No.256 (b) dan Rawang (N14) No.266 (a). Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Kerajaan Negeri menyedari bahawa usaha bagi mencapai imuniti kelompok perlu dipercepatkan agar sektor sosial dan ekonomi dapat dibuka secara berperingkat.
Justeru, Kerajaan Negeri melalui SELGATE Healthcare Sdn. Bhd., sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Vaksin Selangor (SELVAX). SELVAX yang bertujuan melengkapi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan melibatkan vaksinasi kepada 1.25 juta warga Selangor yang terdiri daripada 250,000 orang awam yang akan menerima secara percuma dan 1 juta pekerja sektor industri dan ekonomi. Sehingga 22 Ogos 2021, bilangan dos vaksin yang telah disuntik bagi Program SELVAX Komuniti adalah sebanyak 224,880 dos. Bagi Program SELVAX Industri, bilangan dos vaksin yang telah disuntik sehingga 22 Ogos 2021 adalah sebanyak 142,719 dos daripada 750,000 dos yang diperuntukkan berdasarkan stok yang telah dibeli. SELVAX juga telah melaksanakan program vaksinasi secara walk in melalui kaedah pra-pendaftaran termasuk kepada warga asing bermula 3 Ogos sehingga 13 Ogos 2021. Kerajaan Negeri juga dalam perancangan untuk melaksanakan program vaksinasi secara bergerak (mobile). Sasaran golongan penerima adalah mereka yang berada di capaian ke PPV terdekat dan golongan yang tercicir.
Melalui pelaksanaan program PICK dan SELVAX di Negeri Selangor, usaha bagi mencapai imuniti kelompok dapat dipercepatkan dan dijangka boleh dicapai menjelang bulan Oktober 2021.