Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
180) STATUS KEWANGAN KERAJAAN NEGERI
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Selangor?
Prestasi dan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2021 adalah stabil dengan mencatatkan lebihan kewangan sebanyak RM389.96 juta. Ini disumbangkan oleh prestasi kutipan hasil Kerajaan Negeri Selangor sebanyak sebanyak RM1,464.78 juta atau 66.58 % daripada jumlah anggaran tahun 2021 sebanyak RM2,200 juta. Manakala prestasi perbelanjaan mengurus dan pembangunan sehingga 31 Julai 2021, masing-masing merekodkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM648.27 juta atau 53.14% daripada RM1,220.00 juta yang dibelanjawankan dan RM426.55 juta atau 38.67% daripada RM1,103 juta yang dibelanjawankan. Jumlah keseluruhan perbelanjaan mengurus dan pembangunan adalah berjumlah RM1.074.82 juta atau 46.27% daripada keseluruhan belanjawan tahun 2021 sebanyak RM2,323 juta
-
Apakah terdapat peruntukan projek-projek pembangunan fizikal yang dimansuhkan?
Untuk makluman ahli Yang Berhormat, sebanyak 224 projek pembangunan fizikal yang telah diluluskan untuk dilaksanakan di bawah RMKe-12 yang merangkumi 88 projek sambungan dan 136 projek baharu. Sehingga 31 Julai 2021, terdapat 33 projek telah siap dilaksanakan dan 39 projek sedang dalam pelaksanaan. Pada masa ini, Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk memansuhkan mana-mana projek fizikal yang telah diluluskan sama ada yang dalam peringkat pelaksanaan mahupun yang masih dalam peringkat perancangan.
Namun yang demikian, berdasarkan kedudukan semasa kewangan Kerajaan Negeri, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menangguhkan pelaksanaan sebahagian projek pembangunan fizikal berskala besar yang masih lagi berstatus Belum Mula atau Dalam Perancangan yang pada asalnya dirancang akan dilaksanakan pada tahun 2022 untuk ditangguhkan pelaksanaan ke tahun 2023 dan 2024 tertakluk kepada kedudukan kewangan Kerajaan Negeri.
-
Bagaimana pula dengan projek-projek penyelenggaraan?
sub-soalan telah ditolak