Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

165) MASALAH INFRASTRUKTUR JALAN KAMPUNG ROSAK

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan kerajaan untuk membangunkan dan membaiki infra jalan kampung yang selalu rosak akibat faktor tanah yang sering berombak?

    JKR selaku salah satu agensi yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya sama ada Jalan Persekutuan dan Negeri sentiasa prihatin dan peka terhadap sebarang kerosakan dan kecacatan yang berlaku terhadap jalan di bawah seliaan JKR.

    JKR bersama-sama syarikat konsesi yang bertanggungjawab untuk jalan negeri iaitu Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) membuat pemantauan berkala berdasarkan lokaliti dan jajaran jalan tertentu.

    Bagi kerosakan yang kecil seperti jalan berlubang (potholes), pembaikan segera akan diambil dalam tempoh masa 24 jam. Manakala kerosakan yang berskala besar, kritikal dan berlaku secara tiba-tiba seperti tebing runtuh, pemeriksaan secara lebih teliti akan dilaksanakan dan pembaikan segera secara Arahan Kerja melalui Notification of Defect (NOD) akan dilaksanakan.

    Walau bagaimanapun, pemantauan oleh kakitangan JKR dan KSSB secara kerap, selalunya akan mengesan lebih awal jalan-jalan yang berkemungkinan akan mengalami kerosakan akibat keadaan persekitaran termasuk faktor tanah dan perparitan. Oleh yang demikian, jalan-jalan tersebut akan diberi keutamaan untuk kerja-kerja pembaikan yang akan dibaiki secara sebutharga atau melalui kerja pembaikan secara kontrak berpusat.

    Selain daripada itu, faktor laluan kenderaan yang melebihi berat yang dibenarkan terhadap jalan-jalan kampung juga merupakan antara penyumbang berlakunya kerosakan terhadap struktur infra dan jalan.

    Pihak JKR akan mengenal pasti syarikat pengangkutan atau kuari yang terlibat untuk pengesahan. Tindakan terhadap pembaikan semula oleh syarikat tersebut akan dikenakan sepanjang penggunaan jalan tersebut dan sekiranya syarikat tersebut enggan melaksanakan pembaikan tersebut, maka pihak JKR akana meminta bantuan penguatkuasaan dan penghentian operasi  oleh pihak Pejabat Tanah dan Daerah.

     

    KRONOLOGI TINDAKAN JKR

    LOKASI : JALAN MERBAU

    BERLAKU BENCANA ( 02 JUN 2021)

     

    Tindakan serta merta JKR :

    1. Pergi ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan.
    2. Mengarahkan pihak konsesi menyediakan Traffic Management Plan (TMP).
    3. Membuat dan menghantar laporan kepada Pengarah Selangor dan Bahagian Jalan JKR Selangor.
    4. Membuat hebahan kepada pengguna, agensi penguatkuasaan dan yang berkaitan melalui media elektronik seperti Twitter dan Facebook.

    Tindakan susulan

    1. Melaksanakan kerja-kerja penyiasatan tanah di 2 lokasi yang mengambil masa 2 minggu bagi mendapatkan jenis lapisan tanah, paras air tanah bagi penentuan kaedah pembaikan yang sesuai. Tarikh mula laksnakan adal pada 19 Jun 2021.
    2. Mendapatkan laporan tanah dan rekabentuk pembaikan oleh Jurutera yang bertauliah bagi mendapatkan anggaran kos pembaikan.

    Tindakan Akhir

    1. Mesyuarat bagi membincangkan kaedah pembaikan yang bersesuaian dan peruntukan.
    2. Melaksanakan kerja-kerja pembaikan selepas memuktamadkan rekabentuk dan peruntukan diterima. Jangka laksana pada 05 September 2021.
  2. Apakah tindakan Kerajaan Selangor untuk mengatasi pengangkutan lori berat yang merosakkan jalan infra kampung kawasan DUN Jeram?

    Untuk makluman Y.B., skop Pejabat Tanah Kuala Selangor lebih kepada penguatkuasaan dan pemantauan permit bahan batuan yang merangkumi penggunaan doket pengeluaran serta jalan kotor.  Manakala pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) pula akan melakukan pemantauan berkala dilaluan yang melibatkan jalan-jalan JKR yang terlibat.

    Sekiranya terdapat kerosakan jalan, pihak JKR akan mengeluarkan satu notis pemberhentian operasi serta-merta kepada pengusaha untuk pembaikan jalan yang rosak dan pemakluman kepada Pejabat Tanah Kuala Selangor untuk tindakan pemantauan. Operasi pengalihan bahan batuan akan dibenarkan beroperasi semula setelah pihak JKR berpuas hati dengan kerja-kerja pembaikan yang dilaksanakan oleh pengusaha terlibat

Lampiran

Tiada Lampiran.