Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

164) RIZAB KEWANGAN

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kedudukan terkini rizab kewangan Negeri Selangor dan apakah usaha Kerajaan Negeri bagi memastikan perbelanjaan dan pengurusan kewangan yang cekap dan berhemah tatkala berdepan krisis pandemik seperti ini?

    Saya ingin menjawab bersekali soalan yang dikemukakan oleh YB Gombak Setia (soalan 164) dan YB Hulu Bernam (soalan 195) yang bertanyakan soalan yang sama berhubung kedudukan Rizab Kerajaan Negeri Selangor.

    Kedudukan Rizab Kewangan Negeri Selangor sehingga 31 Julai 2021 adalah stabil iaitu berjumlah RM3,193.25 juta yang  terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM797.76 juta dan Akaun Amanah Disatukan berjumlah RM2,395.49 juta.  Secara perbandingannya terdapat peningkatan rezab dengan kadar 10.89% berbanding RM2,879.67 di dalam tempoh yang sama pada tahun 2020. Di dalam krisis pandemik Covid-19 ini, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi kewangan melalui peningkatan di dalam prestasi kutipan hasil, mengawal perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan serta memastikan pengurusan rezab diurus dengan cekap dan teratur agar  segala dasar, program, projek dan aktiviti yang dirancang bagi pembangunan Negeri Selangor dan kebajikan rakyat Negeri Selangor dapat dilaksanakan dengan berkesan. Seterusnya, YB Hulu Bernam [soalan 195 (a)] bertanya tentang jumlah simpanan Rizab Kerajaan  Negeri sehingga Oktober tahun 2020.  Jumlah rezab  Kerajaan Negeri Selangor sehingga 31 Oktober 2020 adalah sebanyak RM2,573.52 juta  yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM791.41 juta dan Akaun Amanah Disatukan berjumlah RM1,782.11 juta.  Selanjutnya YB Hulu Bernam [soalan 195 (b)] turut bertanya tentang perbezaan rezab Kerajaan Negeri Selangor pada Oktober 2019 dan  Oktober 2020. Untuk makluman YB, Rizab Kerajaan Negeri pada 31 Oktober 2019 adalah sebanyak RM2,269.22 juta dibandingkan dengan rizab pada 31 Oktober 2020  sebanyak RM2,573.52 juta. Jumlah perbezaan adalah sebanyak RM304.30 juta.

Lampiran

Tiada Lampiran.