Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
155) PEMBINAAN SEKOLAH
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah Kerajaan Negeri ada perancangan untuk mendapatkan bajet dari Kerajaan Malaysia bagi membina sebuah sekolah rendah dan menengah bagi menampung kepadatan penduduk yang makin bertambah terutama di Taman Templer disebabkan banyak kawasan perumahan baru yang dibuka?
Jabatan Pendidikan Negeri Selangor mengambil maklum bahawa perumahan baru yang dibuka dikawasan Taman Templer, Gombak terus berkembang dan memerlukan pembinaan sekolah rendah dan menengah berdasarkan pertambahan bilangan penduduk yang semakin meningkat.
Sehubungan itu jabatan ini menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa berusaha menyediakan keperluan pendidikan yang ideal dan sempurna kepada semua murid. Ketika ini jabatan telah mendapat maklumat dan mengenal pasti kedudukan tanah serahan pemaju hanya bagi cadangan sekolah rendah sahaja di kawasan Taman Templer. Tapak sekolah rendah tersebut terletak di Lot 16016 Taman Setia Eco Templer seluas 6 ekar dan masih dalam proses perolehan tanah kepada tanah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan. Setelah selesai proses pemilikan tanah maka Jabatan Pendidikan Negeri Selangor akan memohon bagi pembidaan peruntukan pembinaan sekolah dalam Rancangan Malaysia Lima Tahun khususnya dalam RMK-12. Untuk makluman di kawasan taman ini telah terdapat sekolah rendah dan menengah berhampiran iaitu SK Tun Teja dan SMK Tun Perak. Namun pihak jabatan juga sedia maklum bahawa pertambahan penduduk secara langsung akan menyebabkan pertambahan murid di sekolah tersebut dan memerlukan pembinaan sekolah baharu. Pihak jabatan juga dalam proses semakan untuk mengenal pasti di kawasan tersebut atau kawasan berhampiran, sekiranya terdapat tanah rizab pendidikan dan mengenal pasti status tanah disitu, sebagai perancangan bagi projek pembinaan sekolah menengah pula.