Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

127) PUSAT WANITA BERDAYA (PWB)

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah peruntukan sebenar PWB?

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan PWB sebanyak RM3,000,000.00 setiap tahun. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM50,000.00 diperuntukkan bagi kegunaan setiap 56 PWB DUN di seluruh Selangor untuk melaksanakan pelbagai program dan aktiviti berbentuk kemahiran mahupun pembangunan kapasiti di peringkat komuniti di DUN masing-masing yang membawa jumlah keseluruhan sebanyak RM2,800,000.00.

    Manakala baki RM200,000.00 diperuntukkan bagi pelaksanaan program-program yang disusun di peringkat pengurusan PWB  yang melibatkan penyertaan semua 56 PWB DUN di sepanjang tahun. Bagi tahun 2021, peruntukan ini telah digunakan oleh Pengurusan PWB bagi pelaksanaan program seperti Latihan Kepimpinan Para Penyelia PWB DUN, penghasilan produk bagi jualan di Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) bersempena Sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Negeri Selangor dan Program Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita yang dianjurkan secara usahasama di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga.

  2. Seandainya jumlah peruntukan tidak habis,adakah dibawa ke tahun akan datang?

    Seandainya peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk kegunaan PWB ini tidak habis digunakan pada tahun semasa, peruntukan tersebut tidak akan di bawa ke tahun akan datang. Peruntukan PWB akan kekal disediakan oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM3,000,000.00 setiap tahun. Oleh yang demikian, perancangan di peringkat pengurusan PWB bersama para penyelia PWB di 56 DUN seluruh Selangor hendaklah dirangka dan direncanakan sebaiknya agar peruntukan tersebut dapat digunakan secara optima dengan penganjuran pelbagai program yang dapat memberikan manfaat kepada seluruh golongan masyarakat di Selangor.

  3. Sejauhmanakah keberkesanan program Hassel PWB?

    Program Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) adalah merupakan sebuah program anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor mulai tahun 2020 bersempena Sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Negeri Selangor yang diraikan pada 8 Mac setiap tahun.

    Penganjuran Ekspo HaSSel ini telah menyediakan peluang dan ruang serta bertindak sebagai sebuah platform yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai golongan terutamanya golongan wanita di seluruh Selangor yang bukan sahaja boleh berperanan sebagai pengunjung tetapi juga sebagai penganjur secara kerjasama melalui kepelbagaian aktiviti pengisian seperti persidangan, forum, bengkel kemahiran, pameran dan jualan.

    Ekspo HaSSel ini turut mengangkat dan memperkenalkan produk-produk hasil kerja tangan wanita Selangor melalui latihan-latihan kemahiran yang dijalankan di bawah Pusat Wanita Berdaya (PWB) Selangor yang melibatkan seluruh 56 DUN dan produk-produk hasil tangan wanita daripada Badan Bukan Kerajaan dan agensi Kerajaan.

     

    Penganjuran Ekspo HaSSel secara rintis pada tahun 2020 telah diadakan selama dua (2) hari dengan sambutan yang amat menggalakkan dengan anggaran kehadiran seramai 5,000 ribu pengunjung. Penganjurannya dimeriahkan dengan penyertaan sebanyak 54 buah reruai pameran dan jualan yang melibatkan hampir 95 buah produk berjaya menzahirkan kerjasama dan  penglibatan dari pelbagai jabatan dan agensi serta Badan Bukan Kerajaan di Selangor.

    Penganjuran ekspo ini diteruskan pada tahun 2021 di bawah kendalian Wanita Berdaya Selangor (WBS) secara hybrid iaitu secara dalam talian menerusi laman sesawang www.expohassel.com dan secara fizikal di Foyer SUK Selangor yang telah disesuaikan penganjurannya dengan norma baharu berikutan penularan pandemik Covid-19 yang kian meningkat di Selangor.

    Dengan rekabentuk tiga dimensi (3D), Dewan Ekspo HaSSel virtual ini telah memuatkan 93 buah reruai pameran dan jualan yang melibatkan 830 buah produk hasil tangan wanita serta ruangan program tanpa batas dengan pelbagai aktiviti menarik dengan pengisian empat (4) program utama iaitu Persidangan Wanita Selangor, Forum Wanita dan Kepimpinan Hybrid, Bengkel Jana Ekonomi Digital  dan Bengkel PWB yang melibatkan hampir 80 slot pengisian di sepanjang penganjurannya selama lima (5) hari bermula 24 April 2021 sehingga 28 April 2021.

    Kelebihan Dewan Ekspo virtual ini adalah apabila para pengunjung boleh hadir mengikut kesesuaian masa masing-masing dan program-program yang telah berlangsung boleh diulangsiar agar ianya dapat dimanfaatkan secara berterusan. Malahan Dewan Ekspo virtual ini juga masih boleh digunapakai pada masa akan datang dan hanya memerlukan penambahan produk dan promosi serta kos operasi yang minimal bagi penganjurannya kelak.

    Penganjuran ekspo tahun 2021 ini mencatatkan bilangan pengunjung seramai 50,000 orang yang telah hadir ke dewan ekspo virtual menerusi laman sesawang dan media sosial Ekspo HaSSel serta berjaya mencapai objektif perlaksanaannya seperti berikut :

    1. Melancarkan kempen #beranimempin dengan tema “Wanita Bangkit Mendepani Cabaran” di peringkat Negeri Selangor bagi meningkatkan kesedaran wanita untuk terus bangkit dan kuat menghadapi dugaan musibah Covid-19 yang telah melanda negara dan seluruh dunia;
    2. Memberi penghargaan kepada wanita-wanita yang telah memberikan inspirasi kepada wanita lain di atas kejayaan mereka dalam setiap bidang yang diceburi;
    3. Menyediakan platform untuk wanita di seluruh Negeri Selangor bagi memperkenal dan menjual produk dan hasil tangan mereka serta membina jaringan bersama pelanggan dan pihak luar yang berpontensi mengembangkan perniagaan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negeri; dan
    4. Melancarkan Wanita Berdaya Selangor (WBS) yang merupakan agensi pembangunan Wanita di peringkat Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.