Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

120) STATISTIK PEKERJAAN DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan jumlah pekerjaan baru yang ada di Negeri Selangor sejak tahun 2018.

    Kerajaan Negeri Selangor bersama Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor pada ketika ini tidak mempunyai data khusus berhubung jumlah dan jenis pekerjaan baru di Negeri Selangor sejak 2018 memandangkan majikan dan perniagaan persendirian tidak memaklumkan jumlah terkini perwujudan peluang pekerjaan baharu. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Selangor akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor dalam membantu memastikan apa-apa perwujudan pekerjaan baharu dapat dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat.

  2. Sila nyatakan jumlah pekerjaan yang hilang dalam negeri sejak pandemik COVID-19.

    Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa akibat daripada penularan wabak pandemik Covid-19, Kerajaan Negeri Selangor sedar ia adalah merupakan suatu tempoh yang amat mencabar kepada setiap lapisan masyarakat yang kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan. Sehubungan dengan itu, berdasarkan data yang dikumpulkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor melalui Borang PK (Pemberitahuan Pemberhentian Pekerja) mengikut peruntukan di bawah Akta Kerja 1955, mewajibkan setiap majikan yang berhasrat untuk mengambil tindakan memberhentikan pekerja perlu melaporkan kepada jabatan selewat-lewatnya 30 hari sebelum tindakan pemberhentian dijalankan. Berdasarkan rekod Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor jumlah pekerja tempatan yang telah diberhentikan kerja dalam tempoh Januari hingga Julai 2021 berjumlah 6,495 orang.

  3. Apa langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan untuk mengurangkan pengangguran dalam Selangor?

    Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa, kadar pengangguran di dalam Selangor semakin meningkat ekoran daripada sektor ekonomi yang tidak memberangsangkan. Syarikat atau persendirian dilihat tidak mampu untuk bertahan akibat daripada permintaan pasaran yang semakin suram. Oleh yang demikian, demi menjaga keseimbangan, Kerajaan Negeri sentiasa mencari alternatif baharu dan penyelesaian terbaik bagi mengurangkan kadar pengangguran di Selangor. Antara inisiatif yang diambil adalah untuk terus meneliti rangka kerja baharu dengan mewujudkan peluang dan ruang kepada graduan/ pekerja untuk terus ditempatkan ke dalam sektor pekerjaan secara ‘match making’ bagi mengurangkan kadar pengangguran. Seterusnya Kerajaan Negeri juga turut dalam rangka kerja mewujudkan program-program bantuan berbentuk seminar, taklimat, kursus jangka pendek dan sederhana bagi melengkapkan golongan sasaran dengan kemahiran baharu dan ilmu pengetahuan yang pelbagai di dalam sektor pekerjaan. Dengan adanya kemahiran baharu dan ilmu pengetahuan yang sesuai, ia dapat menjadi salah satu kriteria atau batu loncatan kepada golongan sasaran untuk terus bersaing di dalam sektor pekerjaan yang pelbagai dan sekaligus sedikit sebanyak dapat mengurangkan kadar pengangguran di Selangor.

    Dalam pada itu, Kerajaan Negeri sedar segelintir golongan B40 yang kurang berkemampuan dan berpengetahuan di dalam selok belok sektor pekerjaan sering kali ketinggalan dan tidak diberi pembelaan yang sepatutnya. Oleh yang demikian, menyedari keperluan menyedia dan menyelaras perkara-perkara berkenaan, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 18 / 8 / 2021 secara dasarnya telah bersetuju mewujudkan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) bagi membantu golongan ini untuk menyelesaikan permasalahan berkaitan pekerjaan serta mewujudkan program-program bagi pekerja-pekerja yang kehilangan pekerjaan dengan kerjasama jabatan dan agensi yang berkenaan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.