Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

98) KES BUNUH DIRI DI SELANGOR

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan bilangan kes bunuh diri di Selangor perbandingan antara tahun 2018 sehingga kini.

    Situasi pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk di Malaysia telah menjejaskan pelbagai aspek kehidupan seperti sosial dan ekonomi. Ini termasuk dari aspek kesihatan mental.  Keadaan mental yang tidak stabil berupaya mendorong seseorang melakukan perkara di luar jangka, termasuk bunuh diri.  Jumlah kes bunuh diri di Negeri Selangor sehingga Julai 2021 adalah sebanyak 265 kes, peningkatan yang sangat ketara jika dibandingkan jumlah keseluruhan tahun lepas iaitu 112 kes. Perbandingan kes bunuh diri bagi tahun 2018 sehingga Julai 2021 adalah seperti berikut:

  2. Apakah sebab utama yang menimbul kes bunuh diri di Selangor?

    Antara sebab utama kes bunuh diri berlaku adalah seperti berikut:

    1. Tekanan perasaan, terutama apabila melibatkan masalah keluarga dan kewangan;
    2. Tekanan kehilangan punca pendapatan terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP);
    3. Kesihatan mental yang tidak stabil;
    4. Kemurungan; dan
    5. Tekanan belajar
  3. Apakah tindakan Kerajaan Negeri Selangor bagi meredakan kes bunuh diri?

    Soalan ini telah dijawab bersekali dengan soalan dari Bukit Melawati (N10) No.83 (a), Teratai (N22) N0.94 (c), Taman Templer (N15) No.137 (a), Kampung Tunku (N35) No. 144 (b), Kota Anggerik (N40) No.151 (a), Kampung Tunku (N35) No.188 (a), Subang Jaya (N31) No.208 (a) dan Sementa (N43) No. 224 (b). Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri menyedari akan kepentingan penjagaan kesihatan mental terutamanya di kala pandemik Covid-19 yang semakin mencatatkan kadar kes harian yang tinggi. Saban hari kita melihat kes-kes yang disebabkan oleh masalah kesihatan mental. Justeru itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam telah memperkenalkan satu inisiatif bagi penjagaan kesihatan mental iaitu Program Selangor Mental Sihat (SEHAT). Program SEHAT ini adalah satu program yang menyeluruh merangkumi promosi, kesedaran, saringan awal dan intervensi awal dengan kerjasama pasukan penyelidik dari agensi seperti berikut:

    1. Universiti Islam Antarabangsa (IIUM);
    2. Universiti Sains Malaysia (USM);
    3. Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR); dan
    4. NGO- Mental Illness Awareness & Support Association (MIASA)

    Terdapat 4 objektif utama yang ingin dicapai melalui inisiatif SEHAT iaitu:

    1. Meningkatkan kesedaran dan literasi rakyat Negeri Selangor tentang kepentingan penjagaan kesihatan mental;
    2. Mengurangkan stigma masyarakat terhadap isu-isu kesihatan mental melalui program-program promosi;
    3. Menyediakan platform bagi rakyat negeri Selangor melakukan saringan awal kesihatan mental melalui aplikasi SELangkah; dan
    4. Menyediakan intervensi awal kepada rakyat Selangor secara atas talian melalui talian sokongan psikososial, forum sokongan rakan sebaya (peer) dan video psychoeducation.

    Sejak Jun 2021, SEHAT telah memulakan program promosi dan kesedaran, antaranya melalui siri bicara kesihatan mental secara atas talian yang membincangkan tajuk-tajuk penting melibatkan panelis dari pelbagai lataerbelakang seperti pakar bidang, ahli akademik, NGO, aktivis sosial dan sebagainya.

    Melalui fungsi SEHAT, para pengguna boleh mengetahui tahap kesihatan mental mereka dengan melakukan ujian saringan awal secara kendiri. Setelah mendapat keputusan, para pengguna akan diberikan akses intervensi awal SEHAT secara percuma iaitu:

    1. 30 video edukasi psikologi di aplikasi SELangkah yang merangkumi tajuk-tajuk penting berkenaan kesihatan mental.
    2. Forum SEHAT iaitu forum sokongan rakan sebaya (peer) yang membolehkan para pengguna bertanya pandangan pengendali forum dan berbincang bersama para pengguna lain di aplikasi Whatsdoc.
    3. Talian SEHAT iaitu talian sokongan psikososial yang disediakan bagi pengguna mendapatkan nasihat dan kaunseling daripada mana-mana 31 kaunselor bertauliah menerusi aplikasi Whatsdoc.

    Bagi memudahkan warga Selangor mendapatkan nasihat kaunselor, talian telefon sokongan psikososial akan diwujudkan dan tersedia melalui aplikasi WhatsDoc. Para pengguna akan berpeluang untuk mendapatkan nasihat kaunselor bertauliah secara percuma dan sesi peer support bersama badan bukan kerajaan (NGO) didalam aplikasi Whatsdoc.  Melalui inisiatif ini, dapat disimpulkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor komited dalam menangani isu berkaitan kesihatan mental secara holistik yang memberi kesan kepada rakyat Selangor khususnya berikutan wabak pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Lampiran

Tiada Lampiran.