Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
62) CONTACT TRACING MELALUI SELANGKAH
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan Selangor masih menjalankan contact tracing melalui SELangkah sekarang? Bagaimana kerja-kerja contact tracing ini boleh dilakukan sekiranya tiada kerjasama dan perkongsian maklumat antara Kerajaan Selangor dengan Kementerian Kesihatan Malaysia?
Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan dari Gombak Setia (N17) No.186 (a) dan Kampung Tunku (N35) No.228 (b). Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, memandangkan terdapat beberapan kekangan perkongsian data dari Kementerian Kesihatan Malaysia serta tindakan mewajibkan penggunaan aplikasi MySejahtera, Kerajaan Negeri telah menambah baik pengesanan kontak rapat di Negeri Selangor melalui beberapa kaedah seperti berikut:
- Membina pangkalan data penjejakan kontak rapat tersendiri hasil maklumat pelaporan individu dari program Saringan Covid19 Kerajaan Negeri.
- Membina pangkalan data penjejakan kontak rapat tersendiri hasil maklumat temuduga pesakit di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Covid-19 Assesment Centre 19 (CAC) & Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang menggunapakai sistem SELANGKAH.
- Membina pangkalan data penjejakan kontak rapat tersendiri hasil maklumat temuduga secara maya (virtual) pesakit yang sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.
- Sehingga 8 Ogos 2021, seramai 164,354 individu telah dikesan merupakan kontak rapat melalui kaedah di atas. Kesemua maklumat yang diperoleh dikongsi bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, Selangor Task Force Covid-19 dan petugas serta sukarelawan dari Greater Klang Valley Task Force.
Selain itu juga, fungsi dan peranan aplikasi SELANGKAH kini telah ditambah baik dan dipertingkat melalui beberapa aspek seperti berikut:-
- Peta Risiko Wabak
SELANGKAH turut menawarkan kemudahan peta risiko wabak secara anonymous bagi memberi maklumat awal lingkung kawasan di mana kebarangkalian transmisi jangkitan Covid19 adalah tinggi bagi pengetahuan dan tindakan para pengguna. Peta SELANGKAH yang lebih intuitif membantu rakyat mengawalselia risiko kendiri.
- Pendaftaran dan Keputusan Saringan Komuniti Covid-19
SELANGKAH kini menawarkan kemudahan digital bagi pendaftaran, penyertaan dan keputusan ujian Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri Selangor. Kemudahan ini telah digunapakai oleh hampir 44,640 rakyat yang telah disaring menerusi program-program saringan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri, dengan lebih 2,312 dikesan positif dan dapat diasingkan lebih awal bagi memastikan tiada penularan di kalangan komuniti.
- Fungsi Pengurusan Kes Pesakit di peringkat Pejabat Kesihatan Daerah dan CAC
Fungsi SELANGKAH turut dibangunkan bersama dengan para petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menguruskan kes-kes di PKD dan CAC secara lebih mapan di Selangor. Turut dilengkapi adalah fungsi “Kuarantin di Rumah“ yang membolehkan pengawasan tahap kesihatan dipantau oleh petugas kesihatan. Sebanyak 40,990 kes positif telah berjaya diuruskan di CAC Stadium Melawati dan CAC Gombak. Semenjak sistem SELANGKAH diperkenalkan, seramai 21,200 pesakit telah diawasi melalui fungsi Kuarantin di Rumah, dengan sifar (0) kadar kematian di rumah.
- Fungsi Pengurusan Sukarelawan
Aplikasi SELANGKAH turut mengendalikan keperluan sukarelawan bagi pengurusan Covid-19 di Selangor seperti pengurusan kawalan orang ramai (crowd control) di pusat-pusat CAC, pemantauan kuarantin rumah dan pendaftaran vaksin bagi golongan buta IT.