Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
57) KEBAKARAN TIMBUNAN RICIH (KEPINGAN KECIL) TAYAR DI JETI SRITAMA, KUALA LANGAT
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Kenapakah Kerajaan Negeri tidak dapat mengenalpasti aktiviti yang tidak berlesen ini?
Jeti Sritama adalah sebuah kawasan jeti persendirian yang terletak di kawasan persisir Sungai Langat. Aktiviti yang dijalankan adalah melibatkan kemasukan pelbagai barang yang telah mendapat kebenaran daripada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Kastam Diraja Malaysia.
Selain daripada aktiviti jeti, terdapat 14 lot berjumlah 15.4359 hektar disekitar jeti tersebut telah dijadikan premis gudang bagi menempatkan barangan yang telah dibawa masuk daripada jeti. Premis gudang tersebut telah dibangunkan tanpa kelulusan daripada MPKL.
Pemilik premis telah menjalankan aktiviti tersebut selama 20 tahun dan mereka telah diberi peluang untuk menyertai program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran Negeri Selangor di dalam daerah Kuala Langat berdasarkan Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Bil. 6/2006 bertarikh 31 Julai 2006.
Daripada 14 tersebut, sebanyak 7 lot daripada keseluruhan lot di kawasan tersebut telah diluluskan tukar syarat nyata tanah kepada perusahaan/perindustrian oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat. Semakan terhadap baki 7 lot yang masih berstatus syarat nyata tanah pertanian, 3 lot telah membuat permohonan tukar syarat ke Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat pada 27 Disember 2017, namun sehingga kini bayaran premium tidak dijelaskan.
Lot yang menempatkan timbunan rincih tayar yang menjadi punca kebakaran masih berstatus tanah pertanian. Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat telah mengeluarkan Notis Untuk Memulih Pelanggaran Syarat (Borang 7A) di bawah Kanun Tanah Negara pada 12 Julai 2021 kerana menjalankan aktiviti perindustrian di atas tanah berkategori pertanian. Pemilik tanah perlu dalam tempoh 90 hari dari tarikh penyampaian notis supaya mengambil tindakan untuk memulihkan pelanggaran tersebut. Pemilik tanah perlu mengosongkan dan membersihkan keseluruhan kawasan tersebut dengan mengekalkan syarat nyata tanah untuk Tanaman Getah.
Selaras dengan Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Penyelesaian Kilang Tanpa Kebenaran di Negeri Selangor Bil. 5/2020, premis-premis yang termasuk dalam inventori Kilang Tanpa Kebenaran, lesen sementara bagi tahun 2021 boleh dikeluarkan bagi tempoh 1 tahun dengan kadar 3 kali ganda bagi Kategori A (kilang di dalam Zon Industri) dan kadar 5 kali ganda bagi Kategori B (kilang di luar zon industri). Lesen Industri Sementara ini boleh dikeluarkan kepada semua premis kilang yang tidak mempunyai CF/CCC. Namun demikian, premis-premis di kawasan Jeti tersebut tidak membuat permohonan lesen perniagaan kepada MPKL.
Sehubungan dengan itu, pihak Majlis telah mengeluarkan Notis Kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan & Perindustrian (MDKL) 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dari MPKL dan arahan tidak menjalankan perniagaan dalam kawasan tersebut. Selain itu, Notis Kesalahan di bawah Seksyen 70 (13)(c) , Akta Jalan Bangunan & Parit 1974 (Akta 133) turut dikeluarkan kepada pemilik tanah kerana mendirikan struktur bangunan tanpa kebenaran MPKL.
-
Apakah jaminan di masa hadapan kes seperti ini tidak akan berlaku dan berulang lagi?
Pihak Majlis berpandangan perkara ini tidak akan berlaku pada masa akan datang dengan tindakan bersepadu daripada pihak Pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat, MPKL, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), dan juga Kastam Diraja Malaysia.
Selain daripada itu, syarikat utiliti iaitu pihak Air Selangor, TNB, Telekom dan lain-lain hendaklah memastikan setiap permohonan sumber utiliti daripada kilang-kilang hendaklah menyertakan geran yang diakui sah daripada Pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat dan kelulusan pelan pembangunan yang diakui sah daripada MPKL. Ini bagi memastikan kilang-kilang tersebut sah untuk beroperasi dalam daerah Kuala Langat.