Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
56) HASIL PERTANIAN TIDAK DAPAT DIPASARKAN
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimana Kerajaan Negeri membantu petani-petani yang tidak dapat memasarkan hasil pertanian mereka disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan?
Pihak Jabatan Pertanian telah mengambil tindakan proaktif bagi mengelakkan hasil pertanian rosak atau tidak terjual. Antara tindakan yang telah di laksanakan adalah:
- Memberikan Surat Pengesahan Keterlibatan Dalam Aktiviti Rantaian Pembekalan dan Pemasaran Berkaitan Keperluan Makanan yakni ladang dan premis pemprosesan makanan berskala kecil bagi pengusaha tanaman dan industri asas tani secara individu/ persendirian yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menggunakan Sistem eGerakTani. Bagi Syarikat yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) permohonan dibuat kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui sistem CIMS 3.0 menggunakan link https://notification.miti.gov.my/login.
- Membuat penemusuaan petani/ pengusaha bersama pihak pemborong dan pemasar untuk mendapatkan bekalan dari kawasan PKPD.
- Menjalankan program CSR dan promosi, iaitu pihak jabatan sendiri yang membeli hasil pertanian kemudian diagihkan kepada kawasan-kawasan yang terkesan dengan pelaksanaan PKP dan PKPD antaranya perumahan rakyat (PPR), petugas barisan hadapan (PDRM, KKM) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
-
Adakah Kerajaan Negeri melakukan kajian jumlah kerugian yang ditanggung oleh petani akibat perkara tersebut?
Kerajaan negeri telah menubuhkan Program Agro Prihatin Selangor untuk membantu petani yang terjejas. Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) telah dilantik sebagai penyelaras untuk mengumpulkan pangkalan data petani yang mengalami kerugian.Talian hotline serta link aduan telah diwujudkan untuk mengumpul aduan berhubung dengan lambakan komoditi pertanian seluruh negeri Selangor. Kerajaan Negeri telah membeli lambakan hasil petani yang terlibat dan kemudian produk-produk tersebut dipasarkan di 12 outlet jualan PKPS. Maklumat kerugian dan lambakan telah disalurkan oleh semua jabatan dan agensi dibawah portfolio pertanian kepada pihak PKPS untuk diselaraskan.