Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
53) VAKSINASI WARGA ASING
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Dalam jumlah setengah juta warga asing di Negeri Selangor, jangkaan berapa ramai telah mengambil vaksin?
Kelangsungan ekonomi Negeri Selangor turut dibantu oleh tenaga kerja oleh warga asing. Justeru, dalam memastikan golongan ini terus memainkan peranan yang penting di samping menjaga kesejahteraan dan kebajikan mereka, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Vaksin Selangor (SELVAX) yang turut meliputi pemberian vaksinasi kepada warga asing. Sehingga 10 Ogos 2021, jumlah warga asing yang telah menerima vaksin di bawah program SELVAX adalah seramai 9,146 individu,
-
Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk membantu warga asing mengambil vaksin?
Kerajaan Negeri turut mengambil berat kesejahteraan warga asing yang menetap di Negeri Selangor kerana golongan ini juga merupakan sebahagian daripada komuniti masyarakat dan turut menyumbang kepada ekonomi negeri. Berdasarkan data Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), lebih 30 peratus pekerja di Selangor adalah warga asing. Sebagaimana yang Ahli-Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Negeri Selangor mencatatkan kes Covid-19 yang tertinggi dengan kluster kilang dan tempat kerja antara penyumbang utama kadar kes harian. Situasi ini turut menyebabkan golongan pekerja termasuk warga asing perlu diberi vaksinasi dengan kadar segera bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dikawal. Menyedari hakikat ini, pengenalan program SELVAX Industri yang turut melibatkan pekerja warga asing merupakan satu usaha bagi melindungi warga Selangor secara keseluruhannya. Selain itu juga, program SELVAX yang telah dilaksanakan secara walk-in bermula 3 Ogos 2021 turut menyediakan slot bagi warga asing iaitu pada 10 Ogos hingga 13 Ogos 2021 bertempat di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya bagi mempercepatkan sasaran imuniti kelompok.
-
Apakah cabaran akan dihadapi untuk membantu warga asing mengambil vaksin?
Antara cabaran yang dihadapi dalam pemberian vaksinasi kepada warga asing adalah seperti berikut:
- Ketiadaan dokumen sah oleh segelintir warga asing menyebabkan golongan ini tidak mahu mengambil vaksin;
- Terdapat warga asing yang mempunyai dokumen dengan nombor pasport yang sama tetapi negara berlainan;
- Janji temu vaksinasi warga asing diberikan secara berkumpulan besar di sesuatu PPV menyebabkan kesesakan dan aduan dari warganegara. Bagi mengatasi masalah ini, pihak Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) telah mengasingkan temujanji bagi warga asing di PPV terpilih;
- Warga asing yang mempunyai masalah komunikasi (language barrier) dan hadir tanpa penyelia telah mengakibatkan terdapat warga asing yang sedang dalam kuarantin tetapi hadir ke PPV; dan
- Golongan warga asing yang tidak mempunyai rekod pendaftaran sah atau Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) perlu disasarkan bagi pelaksanaan outreach pemberian vaksin satu dos.