Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
52) PENYELESAIAN TERHADAP MASALAH KEKURANGAN KREMATORIUM
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Hal Ehwal Selain Islam
Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan merancang untuk menambahkan krematorium di setiap PBT?
Pada masa ini, Negeri Selangor telah mempunyai 7 Pusat Krematorium iaitu dua (2) buah di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dua (2) di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan masing-masing satu (1) unit di kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp).
Di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), terdapat dua (2) permohonan pembinaan krematorium iaitu di Jeram dan Ijok yang telah mendapat kelulusan Kebenaran Merancang. Manakala Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah meluluskan satu permohonan Kebenaran Merancang (KM) bagi cadangan pembinaan krematorium di Mukim Beranang. Tempoh pembinaan krematorium tersebut dijangka siap dalam tempoh 2 tahun selepas kelulusan KM diberi.
Selain itu, terdapat juga cadangan pembinaan satu pusat krematorium oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) di atas tanah yang telah diwartakan seluas 5 ekar terletak di Jalan Serdang Belah, Sungai Buaya, Mukim Tanjung Dua Belas Kuala Langat dan satu pusat krematorium terletak di Mukim Hulu Kelang oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Maklumat Tambahan
Krematorium di Kuala Langat
Pihak Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) telah mengesahkan pihaknya telah mengemukakan permohonan peruntukan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bagi pembinaan krematorium di Mukim Tanjung Dua Belas. Lawatan kerja telah dibuat bersama wakil ICU JPM pada 3 Ogos untuk pengesahan tapak dan tindakan selanjutnya.
Krematorium di Kajang
Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah menerima permohonan KM bagi pembinaan Krematorium di Mukim Beranang. Permohonan ini telah diluluskan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat MPKj bertarikh 9 Mac 2021.
Penarikan semula Kebenaran Merancang oleh ICU bagi pembinaan Krematorium di Kapar, Klang
Mesyuarat Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) Bil 1/2021 pada 2 Februari 2021 telah mengambil maklum penarikan semula Kebenran Merancang (KM) bagi cadangan pembinaan Krematorium di Kapar, Klang. Sehingga kini, tiada sebarang maklumbalas mengenai status cadangan pembinaan ini.
-
Kalau ya, dalam tempoh berapa lama rancangan ini akan direalisasikan?
Jawapan sama seperti di atas (a)