Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
47) MPKK YANG BERPRESTASI BAIK DAN MENDAPAT MARKAH PENILAIAN YANG TINGGI DARI PEJABAT DAERAH DIGUGURKAN
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Ahmad Mustain Bin Othman
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Mengapakah terjadinya pengerusi MPKK yang berprestasi baik dan mendapat markah penilaian yang tinggi dari pejabat daerah digugurkan sedangkan yang mempunyai prestasi kurang baik dikekalkan?
Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam berperanan menjalankan proses temuduga kepada semua calon-calon Pengerusi MPKK yang terdiri daripada calon-calon baru dan calon-calon sedia ada (lantikan MPKK pada penggal atau fasa sebelumnya). Setiap kali wujudnya kekosongan jawatan Ketua Kampung, Parti Politik di bawah Kerajaan akan memberikan cadangan nama calon yang berkelayakan kepada Jawatankuasa Pemilihan di Peringkat Negeri. Calon-calon yang dicadangkan /dinamakan untuk jawatan MPKK akan mengisi borang permohonan Jawatan MPKK dan dihantar kepada Jawatankuasa Pemilihan Peringkat Negeri untuk semakan kelayakan dan dipersetujui untuk proses temuduga di Pejabat Daerah.
Keputusan temuduga akan dikemukakan kepada UPEN untuk penyediaan kertas cadangan Pelantikan Ketua Kampung untuk kelulusan MMKN. Keputusan akhir pelantikan Pengerusi MPKK dibuat di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi setelah perbincangan menyeluruh dengan pihak Parti Politik di bawah Kerajaan dan seterusnya diangkat untuk kelulusan di peringkat MMKN. Pejabat Daerah dan Tanah akan membuat penilaian prestasi selepas tempoh percubaan 6 bulan selepas pelantikan. Laporan dan syor akan diangkat kepada Jawatankuasa Penilaian dan Tatatertib untuk penilaian, perakuan dan pengesahan.
Rujukan : Garis Panduan Dasar, Tatacara,Peraturan Mengenai Pelantikan dan Perkhidmatan Ketua Kampung Tradisi serta Urusan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Selangor yang dikemaskini 10 Julai 2019.