Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

44) PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah dan unit projek perumahan terbengkalai yang belum mempunyai kontraktor atau pemaju penyelamat di Selangor mengikut daerah.

    Untuk makluman Yang Berhormat, sebanyak 111 projek perumahan terbengkalai yang belum mempunyai kontraktor atau pemaju penyelamat di Negeri Selangor yang melibatkan 15,010 unit mengikut daerah seperti berikut:

    BIL. DAERAH PROJEK UNIT
    1. PETALING 5 299
    2. KLANG 39 4,392
    3. GOMBAK 11 3,066
    4. HULU LANGAT 13 3,303
    5. SEPANG 9 256
    6. KUALA LANGAT 20 752
    7. KUALA SELANGOR 4 140
    8. HULU SELANGOR 9 2,772
    9. SABAK BERNAM 1 30
    JUMLAH 111 15,010
  2. Nyatakan tindakan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai terhadap projek terbengkalai tersebut.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sentiasa proaktif bertindak sebagai fasilitator/mediator dalam usaha-usaha memulih atau menyelesaikan isu projek terbengkalai atau bermasalah di Negeri Selangor walaupun punca dan bidang kuasa Kerajaan Negeri adalah terhad dan tertakluk kepada Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118].

    Projek terbengkalai dan bermasalah di Negeri Selangor dikawalselia melalui pemantauan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) di Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Jawatankuasa Kecil Pemulihan Projek Terbengkalai Pihak Berkuasa Tempatan (JKPPT PBT) di PBT. Antara tindakan Jawatankuasa bagi membantu projek terbengkalai yang tiada kontraktor atau pemaju penyelamat ini adalah seperti berikut:

    1. Mengadakan perbincangan dan rundingan dengan pihak berkepentingan seperti pembeli rumah, pemilik tanah, tuan tanah, pemaju asal, Jabatan Insolvensi atau pelekuidasi secara berkala bertujuan mencari kaedah penyelesaian terbaik;
    2. Jawatankuasa mengadakan perbincangan dengan semua jabatan teknikal bertujuan mempercepatkan pemulihan projek di samping mengenakan syarat minima bagi membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang kecil tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan;
    3. Jawatankuasa akan sedaya upaya mencari pemaju penyelamat termasuk memohon kerjasama Anak Syarikat Kerajaan Negeri dan agensi lain yang berkaitan untuk menyediakan laporan kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) secara komprehensif;
    4. Jawatankuasa juga akan mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri untuk melantik perunding/kontraktor/project management company/pemaju penyelamat bagi pemulihan projek-projek terbengkalai/bermasalah sekiranya projek tersebut berdaya maju untuk dipulihkan, mendapat persetujuan keseluruhan pembeli/pemilik dan syarat-syarat lain yang sewajarnya setelah rundingan dijalankan bersama semua pihak yang terlibat;
    5. Jawatankuasa berkolaborasi bersama Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN), Kementerian       Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan mengadakan mesyuarat Smart Partnership bertujuan bertukar pandangan berkenaan kaedah penyelesaian secara menyeluruh dan berkongsi maklumat khususnya butiran projek yang mana biasanya ketiadaan rekod permohonan teknikal di PBT serta senarai pembeli;
    6. Jawatankuasa melalui LPHS berperanan bagi mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai supaya pembeli dapat berurusan dengan pihak bank bagi menstrukturkan semula atau pengurangan bayaran bulanan daripada pembiaya atau bank.

Lampiran

Tiada Lampiran.