Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

39) PUSAT WANITA BERDAYA (PWB)

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah pembelanjaan dan baki untuk aktiviti PWB 2021 yang dibelanjakan setakat ini?

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Bukit Lanjan, jumlah keseluruhan perbelanjaan untuk pelaksanaan program-program PWB DUN di seluruh Selangor bagi tahun 2021 sehingga Ogos 2021 adalah sebanyak RM600,061.26 dengan baki peruntukan sebanyak RM2,399,938.74.

    Bagi perbelanjaan peruntukan PWB DUN Bukit Lanjan, peruntukan yang telah dibelanjakan untuk tahun 2021 adalah sebanyak RM2,307.10 bagi pelaksanaan dua (2) buah program iaitu Program Literasi Undang-Undang Syariah (Daerah Petaling) dan  Pengiktirafan Hak Wanita Disisi Undang-Undang Islam. Manakala baki peruntukan untuk pelaksanaan program-program PWB DUN Bukit Lanjan adalah sebanyak RM47,692.90.

  2. Apakah jenis aktiviti dan program yang dijalankan oleh PWB semasa PKP dan PKPD tahun ini?

    Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), semua program yang dianjurkan oleh PWB di 56 DUN seluruh Selangor berjalan seperti biasa seiring dengan norma baharu ketika pandemik ini iaitu pelaksanaan program secara dalam talian (online).

    Bagi tahun 2021, sehingga Ogos 2021 sejumlah 134 buah program telah dilaksanakan secara online yang merangkumi 109 buah program kemahiran dan 25 buah program pembangunan kapasiti.

    Bagi 109 program-program kemahiran yang telah dijalankan, ianya merangkumi pelaksanaan program seperti berikut :

     

    Bil Modul Program Kemahiran Jumlah Program
    1 Seni Kraftangan 31
    2 Hiasan Dalaman 2
    3 Laman Tani dan Lanskap 5
    4 Perusahaan Makanan dan Minuman 63
    5 Program 5R (Reuse, Recycle, Reject, Repair, Reduce) 6
    6 Gaya Hidup Sihat 0
    7 Pertahanan Diri 0
    8 Penyelenggaraan Kenderaan 0
    9 Teknologi Maklumat 2
    10 Seni dan Budaya 0
      Jumlah 109

    Manakala 25 program-program pembangunan kapasiti yang telah dilaksanakan adalah merangkumi program-program berikut :

    Bil Modul Program Pembangunan Kapasiti Jumlah Program
    1 Pendemokrasian dan Hak Rakyat 1
    2 Kefahaman Gender 3
    3 Tata Kelola Baik 0
    4 Wanita dan Perundangan 0
    5 Alam Sekitar dan Kepenggunaan 1
    6 Kesihatan Wanita dan Keluarga 3
    7 Keselamatan dan Pembangunan Keluarga 3
    8 Asas Keusahawanan 11
    9 Asas Pelaburan 1
    10 Pengurusan Kewangan Peribadi dan Keluarga 2
      Jumlah 25
  3. Apakah penambahbaikan yang boleh dibuat untuk memastikan PWB dapat membantu wanita Selangor?

    Penyelia PWB merupakan pemimpin wanita dalam komuniti yang telah diberdaya untuk membantu masyarakat khususnya golongan wanita secara terus menerusi pelaksanaan program-program pembangunan kapasiti dan program-program kemahiran. Dalam memastikan penyampaian perkhidmatan para penyelia PWB Selangor ini memberi kesan yang positif dan memberi manfaat dalam membantu wanita di Selangor, terdapat beberapa penambahbaikan yang telah dirangka untuk dilaksanakan dengan mengoptimakan penggunaan peruntukan sedia ada yang disediakan oleh Kerajaan Negeri seperti berikut :

    1. Menambahbaik pembangunan kapasiti para penyelia PWB melalui kepelbagaian jenis latihan kemahiran yang bersesuaian mengikut keperluan semasa seperti pengendalian program secara atas talian, kemahiran mempromosikan program atas talian, kemahiran mengendalikan media sosial dan kemahiran membuat analisa data keberkesanan penganjuran program atas talian;
    2. Menambahbaik pengurusan program-program PWB dengan membangunkan satu sistem pengurusan dataraya program, peserta program dan tenaga pengajar PWB untuk dimanfaatkan bagi tujuan sebaran maklumat program dan hebahan bantuan di bawah Kerajaan Negeri sepanjang masa; dan
    3. Membuat perkongsian maklumat peserta PWB mengikut taburan geografi kepada YB ADUN masing-masing bagi tujuan memastikan maklumat peserta dapat dikemaskini dan pihak PKM dapat menyalurkan informasi berkenaan program inisiatif dan bantuan semasa Kerajaan Negeri supaya bantuan berkenaan dapat disalurkan dengan kadar segera.

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan penambahbaikan terutamanya daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat agar dapat bersama-sama berperanan dalam memastikan PWB di 56 DUN seluruh Selangor ini dapat membantu dan memberi manfaat kepada masyarakat khususnya golongan wanita.

Lampiran

Tiada Lampiran.