Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

34) SKIM PEDULI SIHAT

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Ronnie Liu Tian Khiew

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah penambahbaikan skim-skim kesihatan khususnya Skim Peduli Sihat? Kemanakah baki wang di akaun Peduli Sihat yang telah dibekukan pada tahun 2020?

    Rakyat Negeri Selangor terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah merasa terbeban akibat daripada peningkatan berterusan kos sara hidup. Peningkatan ini menyebabkan pendapatan isi rumah tidak dapat menampung peningkatan harga barangan atau perkhidmatan, termasuk perkhidmatan kesihatan seperti kos ubat-ubatan, caj khidmat rawatan dan khidmat perundingan. Meskipun dalam mendepani cabaran kesihatan global dan domestik, Kerajaan Negeri tetap mengutamakan aspek kesihatan rakyat bagi memastikan rakyat terus menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Skim Peduli Sihat (SPS) pada tahun 2017. Bagi memberi nilai tambah dan manfaat yang lebih menyeluruh, SPS telah ditambahbaik kepada Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS) yang diperkenalkan pada April 2020 di mana ia akan memberi jaminan perlindungan kesihatan kepada 85,000 keluarga dan individu yang berpendapatan rendah rendah iaitu pendapatan isi rumah di bawah RM2,000 sebulan. Setiap keluarga yang layak akan menerima rawatan asas berjumlah RM500 setahun manakala bagi individu bujang adalah sebanyak RM200 setahun.  Selain membantu kos rawatan asas, SIPS juga memberi manfaat skim insurans seperti berikut:

    1. Manfaat kematian atau hilang keupayaan kekal sebanyak RM5,000;
    2. Khairat kematian sebanyak RM1,000;
    3. Manfaat penyakit kritikal sebanyak RM5,000; dan
    4. Kematian semula jadi sebanyak RM5,000

    Tiada sebarang pembekuan peruntukan SIPS pada tahun 2020.

  2. Berapakah jumlah yang telah digunakan berbanding keseluruhan peruntukan Skim Peduli Sihat secara keseluruhan?

    Pada tahun 2021, Belanjawan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM42,500,000 untuk melaksanakan Program Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS). Pada tahun 2020, sebanyak 79,275 ahli telah menerima manfaat polisi SIPS berbanding jumlah asal iaitu 85,000 orang. Jumlah ini adalah sama bagi tahun 2021 dengan baki peruntukan daripada program tersebut telah digunakan bagi tujuan Program Saringan Covid-19 Bersasar Fasa 3. Susulan daripada itu, jumlah peruntukan bagi melaksanakan SIPS adalah sebanyak RM37,666,668.97 bagi tahun 2021.

Lampiran

Tiada Lampiran.