Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

29) BANTUAN KEPADA ANAK MUDA YANG TERJEJAS PENDAPATAN SEWAKTU PANDEMIK COVID-19

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Lai Wai Chong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Majoriti anak muda bekerja di pusat beli-belah sebagai pembantu mahupun juruwang, apakah perancangan kerajaan dalam membantu mereka yang terjejas pendapatan sewaktu pandemik ini?

    Pandemik COVID-19 telah disahkan merebak di Malaysia pada 25 Januari 2020. Dengan penyebaran virus di semua negeri dan wilayah persekutuan di Malaysia  sehingga kini, kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan seterusnya Pelan Pemulihan Negara untuk mengekang pertambahan kes positif dalam negara.  Akibat daripada ini, golongan anak muda merupakan antara golongan yang terjejas pendapatan sewaktu pandemik ini.

    Sehubungan itu, antara perancangan Kerajaan Negeri dalam membantu mereka yang terjejas pendapatan sewaktu pandemik ini adalah seperti berikut:-

    Program Roda Darul Ehsan (RIDE)

    • Selaras dengan peralihan ke era digital pada masa ini, Kerajaan Negeri menggalakkan mereka untuk menyertai sektor ekonomi gig iaitu sebagai penghantar makanan. Sektor ini menjadi trend penglibatan anak muda pada masa ini.
    • Inisiatif RiDE adalah merupakan salah satu usaha untuk terus membantu kumpulan ini sekaligus menggalakkan penyertaan mereka dalam sektor ekonomi.
    • Justeru, subsidi sebanyak RM500.00 yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada golongan anak muda melalui program RiDE ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited, prihatin dan peka akan masalah yang dihadapi oleh bukan sahaja anak muda tetapi kepada semua golongan yang terjejas akibat pendemik ini.
    • Susulan permintaan yang tinggi terhadap permintaan ‘food delivery’ dan sebagainya, Kerajaan Negeri berharap program RIDE ini akan dapat memenuhi keperluan tenaga kerja dan merancakkan lagi sektor tersebut dan juga dapat menambahkan pendapatan mereka.
    • Untuk makluman, melalui program RiDE yang telah dilaksanakan, seramai 3700 orang peserta telah berjaya menyertai program ini dengan jumlah peruntukan adalah sebanyak RM1,957,100.00.

    Program Karnival Kerjaya – Jelajah Selangor Bekerja

    • Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan juga telah merancang untuk meneruskan Program Karnival Kerjaya – Jelajah Selangor Bekerja Tahun 2021 dalam usaha untuk membantu golongan anak muda untuk mengurangkan kadar pengangguran di kalangan belia terutamanya selain membantu syarikat-syarikat yang memerlukan tenaga kerja dengan mengutamakan penglibatan warga tempatan berbanding warga asing.
    • Program ini akan diadakan dengan pelaksanaan sebanyak enam (6) siri di beberapa lokasi di daerah Selangor seperti daerah Petaling, Klang, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.
    • Namun begitu, program ini hanya akan diteruskan tertakluk kepada SOP yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara.
    • Program Selangor Kerjaya
    • Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) juga telah mengadakan satu inisiatif baharu iaitu Program Selangor Kerjaya yang bertujuan untuk membantu rakyat Selangor mencari pekerjaan.
    • Program ini menawarkan peluang pekerjaan melalui pemadanan kerjaya yang berkesan melalui Potal Selangor Kerjaya dengan pautan https://www.selangortalentportal.com.my.
    • Kemudahan Selangor Talent Portal ini adalah diberi secara percuma kepada majikan yang mahu mengiklankan jawatan kosong dan individu yang ingin mencari peluang pekerjaan, di mana mereka hanya perlu mendaftar dengan Selangor Talent Portal.
    • Melalui program ini, calon akan melalui penilaian profil serta pemadanan kerjaya tertakluk kepada pekerjaan yang diiklankan dan pemilihan tersebut akan dilakukan oleh majikan yang berdaftar sebelum penempatan kerja sebenar berlaku. Setelah penempatan kerja berlaku, calon akan diberikan latihan – latihan profesional dan akses pembelajaran atas talian selama dua belas (12) bulan.

    Selangor Advance

    • Selangor Advance ialah program yang memberi kemudahan aliran tunai dan modal operasi pembekal/penyedia perkhidmatan yang berurusan dengan pihak Kerajaan Negeri Selangor, agensi dan kumpulan GLC Selangor sahaja. Kaedah yang dilaksanakan adalah melalui kemudahan pembiayaan pemfaktoran-i. Para pembekal / penyedia perkhidmatan tersebut boleh memohon untuk menyertai program secara atas talian di selangoradvance.com.my dan boleh mula memohon untuk pembayaran awal atas nilai invois setelah mendapatkan kelulusan untuk mengambil bahagian. Menteri Besar Incorporated (MBI) adalah urusetia bagi program ini.

     

    Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)

    • Bantuan ini diberikan kepada usahawan mikro melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana ini merupakan program khas untuk membantu usahawan mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju. Setiap tahun sekurang-kurangnya 100 usahawan menikmati manfaat daripada bantuan ini.
    • Setiap daerah diperuntukkan sebanyak RM250,000.00 untuk program bantuan DUMS. Setiap pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang ditetapkan berpeluang untuk dipertimbangkan untuk menerima bantuan sehingga RM30,000.00.  Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut:
    • Rakyat Negeri Selangor atau pun yang telah bermastautin lebih daripada 10 tahun;
    • Perusahaan dijalankan di Negeri Selangor;
    • Berumur antara 18 – 55 tahun;
    • Nilai jualan kurang daripada RM300,000.00 atau bilangan pekerja 2-5 orang;
    • Perusahaan telah dan masih beroperasi sekurang-kurangnya 2 tahun;
    • Perusahaan dijalankan sepenuh masa; dan
      • Perusahaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

    Klinik Usahawan Selangor

    • Penubuhan Klinik Usahawan Selangor adalah bertujuan untuk memberi bantuan dan khidmat nasihat perniagaan dari aspek urus tadbir, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan.
    • Ia juga bertujuan untuk membimbing secara menyeluruh dalam perniagaan dan menyelesaikan masalah, ketidakupayaan dan kekangan yang membantutkan pengembangan perniagaan. UPEN Selangor bekerjasama dengan BPU, PKNS memandangkan agensi tersebut berfungsi sebagai organisasi yang terlibat dengan pembangunan usahawan.
    • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan
    • Bantuan ini merupakan sebahagian daripada 33 Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Kerajaan Negeri Selangor untuk mengupayakan masyarakat keluar daripada kitaran kemiskinan. Program ini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi.
    • Matlamat utama program ini ialah untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui penjanaan/ peningkatan pendapatan bagi individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00 terutamanya melibatkan peniaga-peniaga kecil menerusi pemberian bantuan peralatan/ mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan. Program bantuan ini  terbuka kepada semua pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan.
    • Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor
    • Program ini bertujuan untuk membantu usahawan India yang berpotensi berkembang maju di dalam bidang perniagaan. Di samping itu, ianya dapat membantu usahawan India menjadi lebih berdikari dan mampu untuk menjana ekonomi. Peserta terlibat akan diberikan latihan dan pengupayaan kepakaran, penyediaan cadangan projek, pengurusan pemasaran dan kewangan.
    • Antara modul yang telah dirangka ialah latihan kemahiran bersama syarikat peneraju/mentor terpilih selama tiga (3) hingga enam (6) bulan bergantung kepada industri yang terpilih. Sepanjang tempoh latihan tersebut, peserta akan diberi peluang untuk terus mengendalikan perniagaan mengikut jenis latihan yang diceburi dan dipantau oleh syarikat peneraju. Program ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Unit Perancang Ekonomi Negeri dengan kerjasama HIJRAH SELANGOR.

    Pinjaman Mikrokredit Hijrah Selangor

    • HIJRAH Selangor menyediakan pinjaman kewangan secara berperingkat bermula tahun 2020. Ia merupakan satu sistem pembiayaan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal, dan peluang mendapatkan modal tambahan.
    • Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1 – 4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Selain itu terdapat beberapa program lain di bawah agensi ini seperti berikut:
      • Skim Zero to Hero
      • NADI (Skim Niaga Darul Ehsan)
      • GO Digital (Skim Pembiayaan Digitalisasi)
      • SITHAM – Program Keusahawan India

    Program Inisiatif Kemahiran Teknikal & Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS)

    • Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif dan memperkenalkan Program IKTISASS yang bertujuan untuk melahirkan golongan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), belia tercicir serta berkeperluan khas dan graduan dengan memberi latihan dalam bidang kemahiran teknikal dan professional seiring dengan keperluan industri semasa.
    • Bagi tahun 2021, di bawah Program IKTISASS telah melaksanakan Program SELatih Sure – Selatih Strategik Upskilling Reskilling dengan kerjasama Selangor Human Resources Development Centre (SHRDC) yang dijangka boleh membantu memulihkan peluang tenaga kerja di Selangor di dalam menghadapi kemelesetan peluang pekerjaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.