Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
8) SUMBER AIR KECEMASAN
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan status pelaksanaan penyambungan kolam takungan HORAS 600  ke SSP1, 2, 3 dan Kolam Takungan (Pond C) ke LRA Semenyih.
Kerja-kerja pelaksanaan penyambungan kolam takungan HORAS 600 ke SSP1, 2, 3 dan Kolam Takungan (Pond C) ke LRA Semenyih merupakan salah satu dari tindakan yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam mengatasi isu pencemaran air mentah di Sungai Sleangor dan Sungai Semenyih sebagai usaha untuk mengatasi gangguan bekalan air kepada pengguna. Usaha ini dikenali sebagai Skim Jaminan Air Selangor (SJAM) dan secara keseluruhannya merangkumi penyelesaian dari hulu sungai (upstream) hingga ke hilir sungai (downstream) seperti berikut:
- Pindaan Enakmen LUAS 1999 dan Peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar Negeri Selangor 2012 bagi aktiviti pencemaran seperti dari kawasan pertanian bagi menyemak semula jumlah denda dan kompaun supaya jumlah dan tindakan perundangan yang diambil lebih digeruni oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab termasuk menguatkuasakan pelaksanaan pelepasan efluen berdasarkan keupayaan kapasiti sungai iaitu aplikasi Total Maximum Daily Load (TMDL) di kawasan yang ditetapkan selaras seksyen 56, Enakmen LUAS 1999 dan pelaksanaan Polluters Pay Principle(PPP) ;
- Pemantauan dan Pengawasan oleh LUAS melalui skuad PANTAS yang diperkasakan bagi membuat pemantauan 24 jam di kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai Utama yang membekalkan air ke Loji Rawatan Air dan membangunkan stesen telemetri kualiti air bagi tujuan sistem amaran awal (early warning system) di hulu muka sauk yang berisiko;
- Pelaksanaan Projek Perintis Rawatan Biologikal/Bio-Remediation Bagi Tujuan Pemuliharaan Kualiti Air Sungai Gong melibatkan penambahbaikan kualiti air Sungai Gong melalui kombinasi pendekatan biologi seperti perletakan bahan nanoteknologi (Aquaritin) dan kaedah fizikal seperti Raw Water Treatment System (RWTS); dan
- Pelaksanaan projek pengepaman air mentah dari kolam takungan HORAS 600 di Sungai Selangor dan Kolam Takungan (Pond C) di Sungai Semenyih.
Pelaksanaan projek pengepaman air mentah dari kolam takungan HORAS 600 di Sungai Selangor dan Kolam Takungan (Pond C) di Sungai Semenyih melibatkan 4 pakej kerja utama iaitu:-
- Kerja-kerja pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem pengepaman Archimedean Pump dan kerja-kerja lain berkaitan di Kolam HORAS 600 Kampong Sg. Darah, Bestari Jaya, Kuala Selangor;
- Kerja-kerja pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem pengepaman Archimedean Pump dan kerja-kerja lain berkaitan di muka sauk Loji Rawatan Air Rantau Panjang, Kuala Selangor;
- Kerja-kerja pembinaan pelencongan sungai, pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan dan kerja-kerja lain berkaitan di muka sauk Loji Rawatan Air SSP 1, 2 & 3 Bestari Jaya, Kuala Selangor; dan
- Kerja-kerja pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem pengepaman dan kerja-kerja lain berkaitan di muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Semenyih, Jenderam Hilir.
Pelaksanaan projek ini dalam peringkat pelantikan kontraktor dan pelantikan akan dibuat selewat-lewatnya September 2021 ini. Kerja-kerja bagi projek ini dijadualkan untuk disiapkan pada akhir tahun 2022.