Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

5) GENERASI MUDA DAN SUKAN

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri bagi aktiviti Sukan di Negeri Selangor bagi tahun 2020.

    Pada tahun 2020, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM14,500,000.00 di bawah Program Generasi Muda dan Sukan. Sebanyak RM5,260,000.00 daripada peruntukan tersebut digunakan untuk Program Pembangunan Generasi Muda, yang mana program-program ini dilaksanakan berdasarkan teras yang terkandung di dalam Dasar Belia Selangor. Manakala sebanyak RM7,000,000.00 adalah untuk Program Pembangunan Sukan dan sebanyak RM2,240,000.00 pula adalah untuk Projek Membaikpulih dan Membina Baru Infrastruktur Sukan Negeri Selangor.

    Untuk makluman pada tahun 2020, Negara telah dilanda dengan penularan wabak Covid-19. Justeru, Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020 dan dilanjutkan sehingga 28 Disember 2020 bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19. Pelaksanaan ini telah memberi kesan kepada aktiviti-aktviti Sukan terutamanya yang melibatkan penyertaan ramai belia.

    Sehubungan dengan itu, bagi memastikan agenda pembangunan Generasi Muda Selangor terus terlaksana, Kerajaan Negeri bergerak ke hadapan dengan memanfaat kemudahan teknologi digital terkini seperti platform media sosial bagi menganjurkan program secara atas talian yang seiring dengan trend norma baharu pada masa ini, di samping penekanan kepada aktiviti-aktiviti kesukanan yang mematuhi ketetapan-ketetapan ‘SOP’. Antara aktiviti atau program kesukanan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2020 adalah seperti berikut :-

    BIL PROGRAM PERUNTUKAN (RM)
    1. Program Kejohanan E-Sports Fifa Piala Budak Kampung 2020 41,400.00
    2. Program Selangor Xtiv Virtual E-Sport 2020 400,000.00
    3. Program Selangor Xtiv Virtual Run 2020 332,000.00
    4. Program Gelanggang Selangor Martial Arts Virtual 2020 155,150.00
    5. Program Pro Club Super League 150,000.00
    6. Program Selangor Xtiv Video Challenge 2020 180,000.00
    7. Program Selangor FIFA Pro Club League 2020 48,800.00
      JUMLAH KESELURUHAN 1,307,350.00

     

    Selain daripada itu, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) juga terus menjalankan program-program pembangunan sukan dalam usaha agar Negeri Selangor terus kekal sebagai salah satu kuasa besar dalam bidang sukan di Negara kita serta melahirkan atlet-atlet yang dapat mengharumkan nama negara amnya dan negeri Selangor khususnya. Antara program yang dilaksanakan adalah seperti berikut:-

    Program Bakat Yang Dijalankan di Daerah-Daerah

     

    • Program Bakat adalah merupakan program latihan yang dijalankan di peringkat akar umbi. Ianya dijalankan di daerah-daerah yang selaraskan oleh Majlis Sukan Daerah (MSD).

    Program Pelapis

    • Program ini dijalankan kepada atlet-atlet yang dipilih dari peringkat Bakat untuk dilatih dengan lebih gigih lagi sebagai persediaan atlet ke peringkat Elit (SUKMA).
    • Program Elit
    • Program ini merupakan program latihan atlet yang terpilih dari peringkat Pelapis untuk mewakili Negeri Selangor ke Temasya Sukan Malaysia (SUKMA).

    Untuk makluman, program-program ini telah dijalankan secara online berikutan pandemik yang melanda negara. Walaupun begitu, bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri telah membuat bayaran elaun kepada jurulatih dan atlet yang melibatkan peruntukan sebanyak RM3,948,782.10 agar mereka terus menjalankan latihan bagi memastikan segala perancangan yang dibuat dapat dilaksanakan dengan jayanya.

    Seterusnya, sebagai penghargaan kepada empat (4) orang atlet Selangor yang telah berjaya mewakili negara ke Sukan Olimpik 2021 yang diadakan di Tokyo, Kerajaan Negeri telah memberi sumbangan sebanyak RM10,000.00 kepada setiap orang atlet seperti berikut:-

    • Farah Ann Binti Abdul Hadi – Sukan Gimnastik
    • Lee Hup Wei – Sukan Olahraga (Lompat Tinggi)
    • Gavin Kyle Green- Sukan Golf
    • Phin Jinq En-Sukan Akuatik (Renang)

    Seterusnya, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) juga terus komited untuk meneruskan program Latihan untuk melahirkan lebih ramai atlet Selangor yang bakal mewakili negara ke Sukan Sea Vietnam yang telah ditunda ke tahun 2022.

     

  2. Apakah usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri bagi membantu Persatuan Sukan yang terjejas akibat COVID-19?

    Persatuan Sukan Negeri adalah ahli gabungan Majlis Sukan Negeri Selangor yang berperanan bersama – sama dengan pihak Majlis menjalankan program pembangunan sukan masing – masing dan menggerakkan sukan tersebut untuk melahirkan atlit yang terbaik di Negeri Selangor. Pelbagai aktiviti tahunan dirancang di peringkat persatuan sukan setiap tahun dan pihak Majlis akan memberi bantuan dalam bentuk peruntukan dan juga sokongan ke arah pembangunan sukan tersebut. Antaranya adalah menganjurkan kejohanan, mengadakan kursus dan bengkel kejurulatihan, program latihan dan persiapan atlet di semua peringkat (bakat, pelapis dan SUKMA) dan pelbagai lagi aktiviti yang dirancang di peringkat persatuan sukan negeri.

    Namun sejak pandemik Covid19 melanda negara pada Mac 2020, kesemua program yang dirancang telah dihentikan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan dan sehingga kini program yang berbentuk fizikal seperti penganjuran kejohanan, latihan pasukan dan sebagainya masih belum dapat dijalankan lagi selaras dengan arahan semasa yang telah dikeluarkan.

    Kerajaan Negeri Selangor amat prihatin dengan keadaan Persatuan Sukan Negeri yang kesemuanya terkesan dengan pandemik Covid19 ini. Majlis Sukan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM 200 ribu diberikan kepada persatuan yang terlibat. Selain  daripada itu juga, pihak Majlis Sukan Negeri Selangor menggalakkan semua persatuan menjalankan aktiviti berupa webinar, kejohanan dalam talian (virtual) dan kursus melalui platform online dengan bantuan peruntukan yang sedia ada.

    Kerajaan Negeri juga mengharapkan agar kerajaan persekutuan menyediakan satu Standard Operation Procedure (SOP) yang jelas dan mempertimbangkan untuk membuka sektor sukan terutamanya kepada semua warga sukan yang telah lengkap mengambil vaksin untuk mereka menjalankan aktiviti sukan.

  3. Apakah peranan dan fungsi PeBS?

    Kerajaan Negeri telah menubuhkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) pada tahun 2009 adalah bertujuan untuk melahirkan kepimpinan generasi muda yang berwibawa serta dapat menjadi ejen perubahan kepada golongan belia di Negeri Selangor serta bertindak sebagai jentera pelaksana Kerajaan Negeri dalam melaksanakan dasar-dasar berkaitan pembangunan belia di peringkat akar umbi.

    Mulai Januari 2021, Penggerak Belia Tempatan (PeBT) telah dijenamakan semula kepada Penggerak Belia Selangor (PeBS) yang memainkan peranan sebagai ejen penggerak agenda pembangunan belia di setiap kawasan Dewan Negeri. Pencalonan PeBS adalah berdasarkan cadangan nama daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri atau Penyelaras DUN di Negeri Selangor.

    Untuk makluman, penstrukturan semula jumlah PeBT juga turut dibuat yang melibatkan seramai 288 orang PeBT (mewakili setiap 24 Zon PBT) kepada 280 orang PeBS yang akan mengisi 5 jawatan dalam Jawatankuasa PeBS DUN di semua 56 kawasan DUN. Jawatankuasa ini adalah terdiri daripada:

     

    1. Seorang Ketua PeBS;
    2. Seorang Setiausaha;

    Seorang Bendahari;

    1. Seorang Ahli Jawatankuasa (Penerangan dan Publisiti); dan
    2. Seorang Ahli Jawatankuasa (Penyelaras Program).

    Selain itu, Majlis Pelancaran Logo Rasmi PeBS telah dilancarkan pada 3 Ogos 2021 yang dirasmikan oleh Y.B. EXCO Generasi Muda dan Sukan.

    Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda dan Sukan juga turut memperkenalkan Selangor Volunteer (SERVE) kepada komuniti dan menggerakkan penglibatan masyarakat dengan mensasarkan seramai 5,600 penyertaan di seluruh Negeri Selangor. Secara simboliknya, SERVE akan dilancarkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), bertempat di Gua Damai Extreme Park, Batu Caves. Seterusnya, Exco Kemasyarakatan, Jaringan dan Kesukarelawanan PeBS akan menggerakkan SERVE dari segi penyeliaan dan pemantauan di setiap kawasan DUN. PeBS akan memainkan peranan merekrut dengan menggalakkan penyertaan akar umbi ke dalam program sukarelawan bersepadu ini, sekaligus menekankan fungsi utama jentera ini di peringkat komuniti yang memfokuskan pada situasi berikut:

    1. Bencana alam dan kecemasan;
    2. Kebajikan dan khidmat komuniti; dan

    iii.     Aktiviti berbentuk kemasyarakatan seperti gotong-royong.

    Struktur Hierarki dan Organisasi PeBS adalah sebagaimana berikut :-

     

    Fungsi dan peranan PeBS adalah sebagaimana berikut :-

    1. Penggerak Belia Selangor (PeBS) berperanan sebagai ejen penggerak agenda pembangunan belia di setiap kawasan Dewan Negeri;
    2. PeBS sebagai pemimpin belia yang menerima mandat Kerajaan Negeri untuk menggerakkan agenda pembangunan belia di setiap 56 DUN;
    3. Bekerjasama dengan ADUN kawasan dalam pelaksanaan program-program yang dianjurkan oleh PeBS seperti program yang berbentuk kemasyarakatan dan kebajikan yang melibatkan penyertaan belia setempat;
    4. Merancang dan menganjurkan program berdasarkan kepada sepuluh (10) Teras yang terkandung di dalam Dasar Belia Selangor bagi memenuhi kehendak dan keperluan generasi muda pada masa kini;
    5. Berperanan menyampaikan dasar dan hala tuju Kerajaan Negeri demi pembangunan belia di seluruh Selangor; dan
    6. Melahirkan barisan kepimpinan yang berwibawa dan berkaliber sebagai ejen perubahan kepada golongan belia di Negeri Selangor serta memenuhi keperluan dan kehendak golongan generasi muda pada masa kini.

Lampiran

Tiada Lampiran.