Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

107) PERKEMBANGAN INDUSTRI SEKTOR PADI

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan perkembangan terkini cara menanam padi dengan menggunakan mesin Transplanter mengenai keberkesanan dan kos pengendalian serta faedah kepada petani.

    Keupayaan sebenar penanaman padi secara transplanter bagi Selangor Selangor pada
    masa kini adalah sebanyak 5,857 ha berbanding 12,781 ha bagi tanaman secara tabur
    terus. Di dalam meningkatkan hasil padi, menanam menggunakan kaedah transplanter
    dilihat dapat memberi kesan yang besar dan segera. Hasil dilihat dapat meningkat
    sekitar 15 hingga 20% berbanding kaedah tanaman tabur terus disamping dapat
    mempercepatkan masa menanam, menjamin kualiti benih yang dihasilkan serta
    memudahkan kawalan perosak dan penyakit yang terdapat di sawah padi seperti siput
    gondang dan padi angin dapat dikawal. Harga padi yang ditanam dengan transplanter
    ditawarkan lebih tinggi dengan purata sekitar RM 1,310 hingga RM 1,400.00/tan bagi
    benih padi. Selangor merupakan pengeluar benih padi sah yang terbesar di negara ini
    (mewakili 65% pengeluaran benih padi negara). Walaubagaimanapun kos bagi
    menggunakan perkhidmatan ini telah meningkat dari RM 850 kepada RM 1050 antara
    faktor dikalangan petani akan lebih berhati-hati dalam berbelanja.

  2. Bagaimanakah perkembangan terkini tentang program pengurusan Jerami padi di Negeri Selangor dan apakah kegunaan sebenar Jerami tersebut ?

    Program pengurusan jerami padi Selangor berjalan seperti biasa dengan 3 pengusaha
    bergerak aktif di kawasan terlibat iaitu di Sawah Sempadan, Simpang Lima, Sungai
    Besar dengan 11 set baler dan traktor.Kegunaan utama jerami padi setakat ini adalah
    untuk diproses sebagai makanan haiwan, system bedding bagi ternakan haiwan dan
    juga sebagai bahan utama pengkomposan dan penyediaan vermikompos.

  3. Sila nyatakan adakah pihak Kerajaan bercadang untuk membuka lebih banyak kawasan penanaman padi yang baru di Negeri Selangor demi untuk meningkatkan pengeluaran padi dan seterusnya dapat mengurangkan masalah krisis bekalan makanan?

    Kerajaan Negeri Selangor tidak mempunyai cadangan untuk menambah kawasan
    penanman padi yang baru kerana kekangan kawasan yang sesuai untuk penanaman
    padi. Namun begitu peningkatan pengeluaran padi untuk menjamin keselamatan
    makanan masih boleh dicapai dengan cara usaha mempertingkatkan hasil pengeluaran
    padi. Masih ada ruang yang banyak untuk peningkatan hasil dimana usaha adalah
    dilakukan untuk mepertingkatkan produktiviti kawasan-kawasan lain ke tahap
    pengeluaran padi di kawasan Sekinchan.

Lampiran

Tiada Lampiran.