Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

60) KADAR INFLASI

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan berapakah unjuran kenaikan kadar inflasi tahun 2008 Negeri Selangor selepas Kerajaan Pusat menaikkan harga minyak petrol dan diesel secara drastik?

    Unjuran kadar inflasi yang dicatatkan pada 29 Ogos 2008 adalah pada kadar 5.5% –
    6.0%. Unjuran ini jauh meningkat berbanding unjuran asal iaitu 2.5 – 3.0% seperti yang
    dinyatakan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Kenaikan yang
    mendadak ini antaranya adalah disebabkan kenaikan harga minyak yang telah
    diumumkan pada 4 Jun 2008 iaitu kenaikan sebanyak 41% iaitu kenaikan sebanyak 78
    sen bagi petrol dan sebanyak 63% iaitu kenaikan sebanyak RM1.00 bagi diesel.

  2. Apakah langkah-langkah proaktif yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengurangkan impak kemelesetan ekonomi ke tahap yang paling minima angkara kenaikan harga minyak?

    Petrol dan diesel merupakan bahan asas utama dalam aktiviti kehidupan rakyat.
    Kenaikan harga bahan-bahan ini memberi kesan secara langsung kepada harga
    barang-barang dan perkhidmatan. Kenaikan harga ini mengakibatkan kenaikan kos sara
    hidup.
    Kesan gandaan daripada kenaikan harga bahan bakar ini menjejaskan taraf dan kualiti
    hidup masyarakat dan seluruh rakyat Selangor. Kuasa beli rakyat menjadi
    berkurangan.
    Kerajaan Pakatan Rakyat sangat prihatin ke atas permasalahan ini dan oleh kerana
    itulah, Kerajaan akan berusaha membantu dan melaksanakan program-program yang
    akan memberi keuntungan dan faedah kepada rakyat Negeri Selangor. Antaranya
    adalah:
    i) Meneruskan program pemberian 20 meter padu air percuma kepada rakyat Negeri
    Selangor.
    ii) Melaksanakan program-program kebajikan iaitu:
    a) Program Mesra Usia Emas bagi membantu memberi manfaat kepada warga
    emas.
    b) Hadiah Anak Masuk Universiti kepada anak-anak Selangor yang melanjutkan
    pelajaran di peringkat diploma dan ijazah.
    c) Membuka tabung iaitu Tabung Warisan Anak Selangor di mana setiap anak
    kelahiran Selangor akan diberi RM100 melalui pelaburan di dalam tabung ini.
    d) Menyediakan tabung pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang bagi memberi
    bantuan pendidikan kepada anak-anak pekerja ladang.
    e) Pewujudan Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) bagi pembelaan terhadap
    wanita dan kanak-kanak yang teraniaya akibat masalah gangguan dan
    penderaan seksual serta keganasan rumah tangga.
    iii) Melaksanakan program peningkatan sumber hasil daripada pengeluaran bahan batuan
    dan mineral.
    Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah menggariskan usaha-usaha bersepadu bagi:
    i) Mempertingkatkan hasil pendapatan negeri melalui pemantapan program kutipan hasil
    dan penguatkuasaan yang berkesan di samping meneroka cara serta punca hasil baru
    Kerajaan Negeri.
    ii) Menguruskan perbelanjaan berdasarkan keutamaan dan kepakaran sebenar tanpa
    pembaziran.
    iii) Memastikan sumber negeri diuruskan secara bijaksana tanpa mengira bangsa.
    iv) Menyediakan kemudahan terutama peluang-peluang ekonomi bagi menjana
    pendapatan rakyat termasuk peluang-peluang berniaga kepada golongan wanita dan
    belia.
    v) Meneruskan pembangunan infrastruktur, pendidikan dan latihan kemahiran yang akan
    memberi manfaat optimum kepada rakyat.
    vi) Pembangunan modal insan untuk meningkatkan kecekapan produktiviti dan akauntabiliti
    dalam sektor awam.

Lampiran

Tiada Lampiran.