Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008
20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008
120) PASAR TANI
Tahun: 2008
Sesi: 3
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Antara industri yang patut dikembangkan kini ialah pertanian. Ruang dan peluang bagi mempromosikan hasil pertanian dan produk berasaskan tani perlu disediakan bagi mempopularkan bidang ini. Apakah usaha-usaha yang dilakukan setakat ini bagi mengembang luaskan industri pertanian di Negeri Selangor?
Antara usaha yang dilakukan bagi mengembang luaskan industri pertanian di Negeri
Selangor adalah seperti yang tersenarai:
a. Usaha meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor pertanian. Sektor
pertanian perlu didorong oleh peningkatan produktiviti melalui penggunaan
teknologi berkesan secara intensif, petani berpengetahuan dalam amalan
pertanian baik serta pembangunan industri berasaskan pertanian.
b. Mengukuhkan pertalian dengan sektor-sektor lain dimana pertalian dalam dan
antara sektor ekonomi lain yang merangkumi pembangunan dan perluasan
industri sokongan dan perantaraan.
c. Mewujudkan sumber pertumbuhan yang baru untuk sektor pertanian.Sumber
pertumbuhan yang baru adalan penting seperti industri asas tani yang dapat
memberi nilai tambah kepada produk pertanian negeri Selangor.
d. Memulihara dan menggunakan sumber asli secara mampan. Pemeliharaan dan
penggunaan sumber asli yang berkesan dan mapan dapat memastikan industri
pertanian Selangor dapat berkekalan dan menjamin ekonomi dan jaminan
keselamatan negara.
e. Bantuan dibawah dasar jaminan bekalan makanan Negara dimana insentifinsentif tertentu disediakan untuk memastikan industri pertanian dapat terus
berdaya saing.
f. Bantuan insentif teknologi tanaman. -
Adakah Konsep Pasar Tani yang diwujudkan sebelum ini mampu memberi peluang pekerjaan dan pendapatan yang di atas paras kemiskinan?
Sehingga kini, Pasar Tani mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada 8,312 orang
seluruh Negeri Selangor yang terdiri daripada peserta/peniaga dan juga pembantu
peserta.
– Jumlah Peserta Pasar Tani Selangor : 2,078 orang
– Jumlah Purata Pembantu : 3 orang x 2,078 orang : 6,234 orang
– Jumlah Keseluruhan (Peserta & Pembantu) : 8,312 orang
Manakala pendapatan kasar bagi seorang peserta Pasar Tani Negeri Selangor bagi
rekod tahun 2007 adalah seperti berikut :
– Pendapatan minima daripada jualan sebulan bagi peserta menjual makanan dan
minimun (purata berniaga tiga kali seminggu) adalah sebanyak RM6,000.00
seorang.
– Pendapatan maksima jualan kasar sebulan bagi peserta menjual hasil laut, daging
lembu, ayam dan sayur-sayuran (purata berniaga tiga kali seminggu) adalah
sebanyak RM60,000.00 seorang.
– Jumlah jualan bagi keseluruhan peserta Pasar Tani Selangor bagi sepanjang tahun
2007 adalah sebanyak RM 70 juta.
– Anggaran untung kasar sebulan bagi seorang peserta pasar tani adalah sebanyak
30% daripada pendapatan jualan iaitu minima sebanyak RM1,800.00 hingga
RM 18,000.00 seorang. -
Berapakah tapak pasar tani yang sedia ada, yang dicadang akan dibuka serta di mana?
Negeri Selangor mempunyai sebanyak 43 buah Pasar Tani di semua Daerah.
– Sebanyak 7 buah Pasar Tani Baru akan dibuka iaitu di :
i) Pasar Tani Taman Seroja, Sepang
(akan dibuka pada minggu keempat bulan Oktober 2008)
ii) Pasar Tani Terminal Bas/Teksi Bandar Baru Salak Tinggi
(akan dibuka pada minggu keempat bulan Oktober 2008)
iii) Pasar Tani Kedua Kampung Pandan, Ampang
(akan dibuka pada minggu kedua bulan November 2008)
iv) Pasar Tani Kedua Kelana Jaya, Petaling Jaya
(akan dibuka pada minggu kedua bulan November 2008)
v) Pasar Tani Taman TTDI Jaya, Shah Alam
(Masih menunggu kelulusan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam)
vi) Pasar Tani Batu 14, Puchong
(Masih menunggu kelulusan daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya)
vii) Pasar Tani Prima Damansara
(Masih menunggu kelulusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya)