Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

109) MASALAH STATUS TANAH

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Mat Shuhaimi Bin Shafiei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Banyak tanah-tanah di kawasan DUN Sri Muda terutama di kawasan Bukit Kemuning merupakan tanah berstatus pertanian dan sebagainya. Jika tanah-tanah ini diusahakan untuk industri pertanian, ia serba sedikit dapat menjana sektor pertanian di kawasan DUN Sri Muda yang lebih tertumpu kepada sektor industri dan perumahan. Apakah ada tindakan yang diambil terhadap status tanah pertanian yang telah ditukar kepada perindustrian tetapi tidak ada industri yang dijalankan dan ia terus terbiar sejak sekian lama, huraikan cadangan tersebut.

    Setakat ini tiada tindakan diambil terhadap tanah tanah yang telah ditukar syarat kepada
    industri tetapi tidak digunakan untuk tujuan tersebut di daerah Klang. Cadangan untuk
    menggunakan tanah industri bagi tujuan pertanian untuk memanfaatkan tanah yang
    terbiar adalah baik. Walaubagaimanapun ianya perlu selaras dengan peruntukan Kanun
    Tanah Negara yang memerlukan aktiviti yang dijalankan tidak bercanggah dengan
    kategori guna tanah. Pihak yang ingin mengusahakan pertanian perlu menghubungi
    pemilik tanah berdaftar kerana tanah tersebut adalah tanah hakmilik. Dari segi cukai
    tanah, kerajaan negeri tidak mengalami kerugian kerana cukai tanah untuk industri lebih
    tinggi dari cukai pertanian.

    Kerajaan Negeri pada dasarnya tidak mengalami kerugian di atas kegagalan pemilik
    tanah untuk membangunkan tanahnya walaupun status tanah telah dipinda pada
    kategori yang lebih tinggi. Ini kerana Kerajaan Negeri telah memperolehi bayaran
    premium tambahan yang dikenakan dan cukai tahunan mengikut kategori tanah
    tersebut. Jika pemilik tanah gagal menjelaskan cukai tanah tersebut maka Kerajaan
    Negeri melalui Pentadbir Tanah boleh merampas tanah tersebut berdasarkan Seksyen
    100 Kanun Tanah Negara.

  2. Apakah status tanah Revolusi Hijau di Johan Setia dan huraikan apakah maksud sebenar Revolusi Hijau tersebut kerana penduduk kampung sendiri terkeliru dan lebih mengelirukan keadaan terdapatnya aktiviti pertanian yang melampau hingga menjejaskan alam sekitar

    Pengeluaran hakmilik kepada peserta-peserta Rancangan Tanah Revolusi Hijau adalah
    berdasar kepada Pekeliling PTG Selangor Bilangan 3/1981, merujuk kepada keputusan
    MMKN yang bersidang pada 17 September 1981. Perkara 2(i) menyatakan Pemungut
    Hasil Tanah hendaklah mencadangkan peserta-peserta rancangan Revolusi Hijau
    Selangor, yang telah diberikan Lesen Pendudukan Sementara dan telah mengusahakan
    tanah dengan jayanya kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor supaya
    Suratan Hakmilik dapat dikeluarkan kepada peserta-peserta berdasarkan syarat-syarat
    dan bayaran yang telah ditetapkan. Jenis hakmilik yang diberikan adalah Pajakan
    Mukim selama 99 tahun.
    Tanah pertanian di Johan Setia telah diberi milik pada sekitar tahun 1991 dan 2001.
    Tanah di Johan Setia adalah terdiri daripada tanah gambut yang memerlukan kos yang
    tinggi untuk diusahakan, dan keadaan infrastruktur yang tidak sempurna. Ini
    menyebabkan ramai pemilik tanah tidak dapat mengusahakan tanah mereka dan terbiar.
    Aktiviti pertanian pada masa kini sebahagiannya dijalankan oleh pengusaha yang
    menceroboh tanah hakmilik individu yang rata-rata di luar pengetahuan pemilik tanah
    berdaftar. Pengusaha haram ini menggunakan kaedah yang murah iaitu dengan
    membakar tanaman untuk tujuan penanaman semula.

    Status tanah adalah tanah hakmilik lanjutan daripada keputusan MMKN yang bersidang
    pada 17 September 1981. Tempoh hakmilik yang diberikan adalah Pajakan Mukim
    selama 99 tahun.
    Maklumat lanjut berkaitan program Revolusi Hijau perlu dirujuk kepada Unit Perancang
    Ekonomi Negeri.

  3. Terdapat sekitar 40 lot tanah hasil dari meluruskan Sungai Klang berada dalam Pejabat Tanah Petaling dan pemilik-pemiliknya terdiri dari pegawai kanan kerajaan dan bekas pemimpin setempat kerajaan lama. Apakah Kerajaan Negeri bercadang membatalkan status tanah ini kerana pembahagiannya meragukan kerana sewajarnya tanah ini di berikan kepada mereka yang lebih berhak.

    Hasil dari projek meluruskan Sungai Klang, mewujudkan sebidang tanah kerajaan di
    Kota Kemuning, Daerah Petaling. Kawasan ini telah diplotkan kepada 58 lot kecil
    berkeluasan antara 400 meter persegi hingga 700 meter persegi setiap satu lot dan
    diluluskan Lesen Menduduki Sementara kepada 58 individu oleh Jawatankuasa Tanah
    Daerah Petaling. Lesen Menduduki Sementara ini mula dikeluarkan pada tahun 2005
    untuk kegunaan rumah kediaman. Walau bagaimanapun sehingga kini tidak ada
    sebarang pembinaan dilakukan di atas mana-mana lot yang terlibat. Lesen Menduduki
    Sementara di bawah kelulusan Pentadbir Tanah Petaling akan berakhir pada tahun ini.
    Tanah Kerajaan ini adalah tanah yang boleh diberimilik di bawah Seksyen 76, Kanun
    Tanah Negara. Oleh yang demikian mana-mana pemohon yang layak di bawah
    Seksyen 43, Kanun Tanah Negara boleh membuat permohonan pemberimilikan
    tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Negeri. Sungguhpun begitu, keutamaan
    bagi pemberimilikan tanah ini sewajarnya diberikan kepada pemegang-pemegang Lesen
    Menduduki Sementara jika Kerajaan Negeri bersetuju melupuskan tanah itu.

    Hasil dari projek meluruskan Sungai Klang, wujud sebidang tanah Kerajaan di Kota
    Kemuning, Daerah Petaling. Kawasan ini telah diplotkan kepada 58 lot kecil berkeluasan
    antara 400 meter persegi hingga 700 meter persegi setiap satu lot dan diluluskan Lesen
    Pendudukan Sementara kepada 58 individu oleh Jawatankuasa Tanah Daerah Petaling.
    Lesen Pendudukan Sementara ini mula dikeluarkan pada tahun 2005 untuk kegunaan
    rumah kediaman. Walau bagaimanapun sehingga kini tidak ada sebarang pembinaan
    dilakukan di atas mana-mana lot yang terlibat. Lesen Pendudukan Sementara di bawah
    kelulusan Pentadbir Tanah Petaling akan berakhir pada tahun ini.
    Tanah Kerajaan ini adalah tanah yang boleh diberimilik di bawah Seksyen 76, Kanun
    Tanah Negara. Oleh yang demikian mana-mana pemohon yang layak di bawah
    Seksyen 43, Kanun Tanah Negara boleh membuat permohonan pemberimilikan
    tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.