Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008
20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008
89) PERLOMBONGAN PASIR HARAM
Tahun: 2008
Sesi: 3
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Amirudin Bin Shari
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Dilaporkan terdapat tapak-tapak perlombongan pasir haram di Selangor. Berapakah pendapatan yang sepatutnya diperoleh Kerajaan Negeri daripada aktiviti perlombongan pasir ini?
Berdasarkan kepada kenyataan Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor, adalah
dijangkakan sejumlah RM200 juta hasil pasir dapat diperolehi selepas polisi baru
pengeluaran pasir (Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. dilaksanakan. -
Apakah rasional Kerajaan Negeri memiliki punya sistem pengeluaran pasir ini
Kerajaan Negeri mengambil pendekatan untuk menguruskan pengeluaran pasir di
Selangor bagi memastikan pulangan hasil dari kegiatan tersebut dapat disalurkan
semula kepada rakyat melalui program-program yang diperkenalkan melalui
Merakyatkan Ekonomi Selangor. -
Apakah langkah penguatkuasaan yang dicadangkan oleh pihak Kerajaan Negeri?
Kerajaan Negeri melalui Bahagian Penguatkuasaan, PTGS dan Pejabat-Pejabat Tanah
Daerah telah melaksanakan penguatkuasaan secara rondaan dan kawalan 24 jam (Ops
Statik) di kawasan-kawasan sensitif yang dikenal pasti menjadi lokasi utama pencurian
pasir di semua daerah.
Tindakan boleh diambil terhadap pencuri pasir di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah
Negara 1965 (Pencabutan atau pemindahan bahan batuan secara tidak sah) yang
mana boleh dikenakan denda yang tidak melebihi sepuluh ribu ringgit, atau dipenjarakan
untuk suatu tempoh yang tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya.
Kerajaan Negeri juga telah melancarkan Program Rakan Pasir iaitu satu program yang
menyediakan kemudahan kepada orang awam untuk menyalurkan maklumat / aduan
kes-kes pencurian pasir melalui Sistem Pesan Ringkas (SMS) kepada Pihak Berkuasa.
Program ini dipantau oleh Bahagian Penguatkuasaan, Pejabat Tanah dan Galian
Selangor dan nombor talian yang disediakan ialah 33886.