Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008
20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008
62) PEMBANGUNAN MODAL INSAN DALAM KECELARUAN
Tahun: 2008
Sesi: 3
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Dunia tanpa sempadan menjadikan segala maklumat dapat diperoleh di hujung jari. Justeru, pembinaan sahsiah rakyat dan generasi muda negeri dan negara ini tidak semudah menuturkan kata-kata manis. Pelbagai cabaran terpaksa dihadapi dan memerlukan kerjasama semua pihak, bermula dari dalam rumah hinggalah ke peringkat Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri menjadi tuan rumah perhimpunan Protes Sejuta Rakyat-Protes Sampai Turun di Stadium Kelana Jaya baru-baru ini. Seperti kita sedia maklum, dalam perhimpunan berkenan berlakunya budaya liar yang tidak terkawal selain tohmahantohmahan yang membakar kebencian sesama rakyat. Di manakah manfaat dan relevannya Kerajaan Negeri dalam soal pembentukan sahsiah rakyat dan pembangunan modal insan dengan kesediaan menjadi tuan rumah perhimpunan berkenaan?
Jawatankuasa Mengkaji Soalan Dewan yang bermesyuarat pada 25 September
2008 telah menolak soalan ini. -
Dalam konteks yang sama, adakah Kerajaan Negeri akan menuruti Kerajaan Kelantan yang mewajibkan mereka yang menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat sebagai syarat wajib mengambil bekerja bagi pemimpin, ketua jabatan dan kakitangan Kerajaan Negeri sebagaimana syarat kelayakan mesti lulus bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM)?
JAWAPAN DARIPADA SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AWAM
Semua skim perkhidmatan telah menetapkan syarat – syarat kelayakan calon – calon
yang akan dilantik atau dinaikkan pangkat ke jawatan–jawatan di bawah pentadbiran
Negeri Selangor. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor akan berpandukan
kepada syarat-syarat tersebut dalam pemilihan calon untuk mengisi jawatan-jawatan
kosong di negeri ini.
MAKLUMAT TAMBAHAN :
i) Syarat am bagi pelantikan ke jawatan tetap:
a) Warganegara Malaysia;
b) Berumur tidak kurang daripada 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan;
c) Mempunyai kelayakan akademik yang mengikut syarat-syarat skim
seperti SPM dan Diploma di dalam bidang yang berkaitan.
ii) Syarat am bagi kenaikan pangkat:
a) disahkan dalam perkhidmatan;
b) mencapai tahap prestasi yang ditetapkan;
c) lulus semua penilaian tahap kecekapan yang ditetapkan; dan
d) diperakukan oleh Ketua Perkhidmatan. -
Antara ciri modal insan terpuji adalah menepati janji. Sehingga kini, berapakah jumlah pelajar yang sudah mendapat RM1000 untuk masuk universiti dengan memenuhi kriteria yang bagaimana?
JAWAPAN DARIPADA PENGURUSAN SUMBER MANUSIA
Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) merupakan Urus Setia yang
bertanggungjawab untuk menguruskan proses pelaksanaan Dasar Baru Kerajaan
Negeri berkaitan permohonan Hadiah Pengajian IPT, berdasarkan keputusan Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bil. 15/2008 yang bersidang pada 11 Jun 2008.
Sehubungan itu, BPSM telah melaksanakan proses permohonan tersebut berpandukan
syarat-syarat kelayakan yang telah dipersetujui oleh MMKN seperti berikut:
(i) Pemohonan adalah terbuka kepada Warganegara Malaysia sahaja;
(ii) Pemohon juga merupakan Rakyat D.Y.M.M. Sultan Selangor yang
memenuhi kriteria seperti berikut:
(a) Pemohon lahir di Negeri Selangor; atau
(b) Ibu atau Bapa pemohon lahir di Negeri Selangor; atau
(c) Pemohon lahir di Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974;
(iii) Pemohon telah ditawarkan tempat untuk memasuki Tahun Pertama
(Semester Pertama) mulai Julai 2008 (sesi pengajian 2008/2009) sahaja;
(iv) Pemohon telah ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian secara
sepenuh masa (full-time courses) di IPTA atau IPTS yang diiktiraf oleh
Kerajaan bagi pengajian di peringkat Ijazah Sarjanamuda dan Diploma
sahaja;
(v) Pemohon telahpun mendaftarkan diri di IPT bagi memulakan sesi
pengajian; dan
(vi) Pemohon daripada keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah.
Dasar Baru Hadiah Pengajian IPT ini telah mula dilaksanakan berkuatkuasa pada 1
Julai 2008 yang lalu. Setakat 30 September 2008, BPSM telah menerima sebanyak
3,784 permohonan daripada pelajar untuk mendapatkan insentif berjumlah RM1,000
sepertimana yang ditawarkan.
Daripada jumlah permohonan tersebut, sebanyak 2,725 permohonan didapati layak
untuk dipertimbangkan (jumlah keseluruhan bagi pelajar IPTA dan IPTS) bagi
menerima insentif tersebut. Setakat ini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan kos
berjumlah RM2.454 juta (telah dibayar kepada pelajar) bagi membiayai program dasar
baru tersebut