Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008
21 Mei hingga 22 Mei 2008, 24 Mei dan 26 Mei 2008
207) PEMBASMIAN RASUAH
Tahun: 2008
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Puan Hannah Yeoh Tseow Suan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah-Iangkah Kerajaan Negeri dalam memastikan bahawa amalan rasuah dihapuskan di kalangan kakitangan PBT dan PTD?
Kerajaan Negeri menyedari bahawa tindakan pembasmian rasuah ini tertumpu kepada para pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Daerah/Tanah. Persepsi negatif ini timbul kerana kedua-dua agensi Kerajaan berkenaan merupakan pelaksana dasar di peringkat akar umbi dan sering terdedah dengan gejala tidak bermoral ini.
Oleh yang demikian, pentadbiran Kerajaan Negeri mengambil inisiatif melaksanakan program pembasmian rasuah di kalangan penjawat awam Negeri Selangor secara berterusan. Program-program yang direncanakan ini dilaksanakan dengan kerjasama utuh pelbagai pihak termasuk Badan Pencegah Rasuah (BPR), Institut Integriti Malaysia (11M)dan Institut Latihan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor (ILPBT).
Antara langkah-Iangkah proaktif yang diambil oleh Kerajaan Negeri ialah :
i) Mengadakan Bengkel Pelan Tindakan dan Pencegahan Rasuah Negeri Selangor bagi merencanakan pelan yang komprehensif serta
bersepadu berlandaskan norma kerja pentadbiran Kerajaan Negeri.ii) Mengadakan pengurusan integriti di kalangan pegawai dan kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Daerah/Tanah melibatkan program/aktiviti seperti penerangan Akta Pencegah Rasuah 1997, penubuhan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) dan simulasi anti-rasuah.
iii) Mewajibkan Modul Pencegahan Rasuah kepada Penguat kuasa yang baru dilantik dan masih dalam proses pengesahan dalam
perkhidmatan di institusi-institusi berikut :
a) Institut Latihan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor (ILPBT); dan
b) Pusat Latihan Penguat kuasa Selangor (PULAPES).iv) Melaksanakan program/aktiviti bersepadu iaitu Program Operasi dan Pemeriksaan Bersama Badan Pencegah Rasuah Negeri Selangor (BPR) terutamanya melibatkan kes-kes kecurian pasir dan penguatkuasaan.
v) Meningkatkan tahap kesedaran di kalangan pegawai dan kakitangan PBT dan PDT berhubung nilai-nilai pematuhan integriti seperti
membekalkan Buku Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Buku Poket semasa menjalankan tugas. -
Apakah tindakan yang telah dan akan diambil oleh Kerajaan Negeri atas laporan rasuah yang dibuat oleh orang ramai terhadap golongan kakitangan ini?
Pentadbiran Kerajaan Negeri mengamalkan konsep pengurusan yang telus dan responsif terutamanya berhubung kait dengan aspek integriti perkhidmatan awam. Orang awam boleh menyalurkan maklumat dan fakta secara langsung kepada pentadbiran Kerajaan Negeri melalui pusat setempat yang khusus iaitu Sistem Talian Aduan Rakyat Selangor (STARS). Sistem ini dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Korporat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Portal STARS ini juga adalah gerbang utama kepada pengadu yang ingin menyampaikan aduan kepada mana-mana organisasi dan agensi kerajaan di Selangor.
Selain itu, pentadbiran Kerajaan Negeri turut bekerjasama rapat dengan Badan Pencegah Rasuah Negeri Selangor (BPR) dalam memastikan usaha membanteras gejala rasuah ini hingga ke peringkat akar umbi. Aduan yang diterima akan disalurkan kepada BPR untuk tujuan siasatan dan penentuan kesahihan kes. BPR mempunyai kuasa yang lebih efektif untuk menjalankan siasatan lanjut kerana disokong oleh Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Sepanjang tahun 2007, sebanyak 22 kes rasuah telah dirujuk kepada Ketua-Ketua Jabatan untuk diambil tindakan tatatertib berdasarkan kepada pertuduhan dan hasil siasatan BPR.
Pentadbiran Kerajaan Negeri turut menyediakan forum rasmi menangani aduan dan laporan orang awam dengan menubuhkan Jawatankuasa Pengaduan Awam Negeri Selangor (JAKPAN). Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Y.B Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, manakala Pengarah BPR Selangor dilantik selaku Ahli JawatankuasaTetap. Sehubungan dengan itu, aduan-aduan rasuah yang disalurkan oleh orang awam mampu ditangani dengan sewajarnya.