Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

21 Mei hingga 22 Mei 2008, 24 Mei dan 26 Mei 2008

153) PENGUATKUASAAN DAN PENCEGAHAN MAKSIAT

Tahun: 2008

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah punca BADAR (Badan Dakwah Nahi Mungkar) yang banyak membantu JAIS dalam melaksanakan aktiviti pencegahan maksiat dimansuhkan?

    Badan Amar Makruf Dan Nahi Mungkar (BADAR) ditubuhkan pada 1993.
    Operasi bermula di Masjid Negeri dengan keanggotaan lebih kurang 40 orang sukarelawan di bawah kelolaan pentadbiran Imam Besar Masjid Negeri ketika itu. BADAR kemudiannya berkembang ke seluruh negeri Selangor dianggotai 5 orang sukarelawan bagi setiap masjid.

    Pada awalnya, dengan kekuatan pegawai Penguat kuasa Agama (PPA) hanya
    seramai 9 orang bagi seluruh negeri Selangor, peranan yang dimainkan BADAR benar-benar memberikan nilai tambah kepada fungsi-fungsi Bahagian Pendakwaan dan Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Ahli BADAR di kawasan Shah Alam, Petaling Jaya, Sungei Way, Klang, Gombak dan Hulu Langat adalah antara yang paling aktif.

    Walau bagaimanapun, beberapa masalah telah timbul, antaranya dakwaan dan laporan salah laku gangguan seksual, pemeriksaan badan kepada orang yang tidak sama jantina dan sindiket membawa tertuduh untuk bernikah di Selatan Thailand. Serbuan-serbuanyang dibuat di premis-premis persendirian seperti di taman-taman perumahan, rumah-rumah kongsi dan kelab-kelab malam banyak dijalankan di luar kawalan. Akhirnya BADAR telah dibubarkan pada tahun 1995. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri telah meluluskan pada tahun 1995, sebanyak 28 jawatan Pegawai penguat kuasa Agama secara kontrak sebagai tambahan kepada 9 anggota sedia ada seterusnya pada tahun 1997, sebanyak 35 lagi jawatan yang sama telah diluluskan. Pada tahun 2001 dan 2002, sebanyak 43 lagi jawatan telah diluluskan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk keperluan tersebut yang menjadikan keanggotaan Pegawai Penguatkuasa Agama yang paling ramai di negara ini ketika itu.

  2. Apakah justifikasi yang ditentukan oleh penguatkuasaan JAIS untuk menangkap ustaz-ustazyang mengajar agama tanpa tauliah di negeri ini?

    Justifikasi penguatkuasaan, JAIS bagi menangkap ustaz-ustaz yang mengajar agama Islam tanpa tauliah ialah :

     

    1. Maklumat atau aduan yang bertanggungjawab diterima selaras dengan
      peruntukan seksyen 54 (2) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri
      Selangor) Tahun 2003.
    2. Nama penceramah dirujuk kepada Sahagian Pengurusan Dakwah, JAIS untuk ditentukan sama ada mereka mempunyai tauliah sebagaimana dikehendaki di bawah peruntukan seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003.
    3. Tindakan menasihati akan di laksanakan kepada pihak masjid atau surau yang menjadi penganjur dan penceramah itu sendiri supaya program tersebut tidak diteruskan.
    4. JAIS akan membuat pemantauan di tempat ceramah. Tindakan undang-undang akan dilaksanakan di bawah seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 jika ceramah diteruskan sama ada menggunakan pendekatan menangkap penceramah tersebut atau melalui tindakan saman.

    Kesimpulannya, JAIS mempunyai justifikasi yang jelas dari segi undang-undang dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana penceramah tanpa tauliah. Cuma bezanya, adakah justifikasi undang-undang sedia ada itu digunakan untuk maksud-maksud tertentu sehingga pihak JAIS menerima laporan mengenainya adalah sesuatu di luar kapasiti JAIS. Dalam masa yang sama JAIS terikat untuk menguatkuasakan undang-undang yang berkuat kuasa dengan sebaik mungkin dan dengan rasa tanggungjawab terhadap tugas.

  3. Berapakah jumlah penceramah bertauliah JAIS dan berapakah nisbahnya dengan jumlah keperluan yang mesti tiada bagi mengimbangi pembangunan insan dan rohani seluruh umat Islam di negeri ini?

    Jumlah penceramah bertauliah di Negeri Selangor sehingga April 2008 adalah
    seramai 1132 orang. Jumlah ini adalah memadai bagi keperluan masjid dan
    surau di Negeri Selangor yang berjumlah 2276 buah, surau kebenaran
    sembahyang Jumaat 110 buah dan masjid berjumlah 359 buah. Setakat ini
    tujuan tauliah dikeluarkan adalah untuk memenuhi keperluan penceramah di
    masjid dan surau.

    Manakala nisbah jumlah penceramah dengan penduduk Islam di Negeri
    Selangor adalah sebanyak 1:2000.

Lampiran

Tiada Lampiran.