Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

21 Mei hingga 22 Mei 2008, 24 Mei dan 26 Mei 2008

112) INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

Tahun: 2008

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa banyak IPT/kolej yang di takbir di bawah pengurusan kerajaan negeri Selangor dan berapa perbelanjaan yang diperuntukkan pada tahun yang lalu?

    Terdapat empat (4) buah IPT yang ditadbir oleh Kerajaan Negeri, iaitu :-

    i) Universiti Industri Selangor (UNISEL);
    ii) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS);
    iii) Kolej Antarabangsa INPENS; dan
    iv) Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS).

    Kerajaan Negeri tidak menyediakan geran peruntukan kepada IPT ini tetapi bantuan diberi dalam bentuk penajaan kepada pelajar bagi tujuan pembiayaan pengajian.

    Setakat Mei 2008, seramai 494 orang pelajar telah ditaja oleh Kerajaan Negeri bagi mengikuti kursus kemahiran di Kolej INPENS dengan melibatkan kos penajaan berjumlah RM3.06 juta. Seramai 46 orang pelajar telah mendapat faedah melalui kemudahan pinjaman berjumlah RM253,100.00 untuk melanjutkan pengajian di UNISEL.

    Manakala seramai 88 pelajar telah ditaja bagi mengikuti pengajian di IKYS dengan penajaan berjumlah RM369,500.00 dan seramai 202 pelajar dengan penajaan berjumlah RM480,100.00 telah ditaja bagi mengikuti pengajian di KUIS. Secara keseluruhannya Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM4.16 juta bagi membiayai pengajian pelajar di IPT di bawah Kerajaan Negeri.

  2. Adakah IPT/kolej ini dapat menampung bilangan anak Selangor yang mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi?

    Setakat ini, IPT/Kolej yang ditadbir oleh Kerajaan Negeri mempunyai kemudahan infrastruktur bagi menampung seramai 10,400 orang pelajar. Usaha sedang dijalankan bagi meningkatkan jumlah bilangan pelajar yang dapat ditampung oleh IPT yang berkenaan.

    Berdasarkan pecahan mengikut IPT, kemudahan asrama di KUIS dapat menampung seramai 4,500 orang pelajar, manakala UNISEL dapat menampung seramai 5,000 orang pelajar, IKYS 400 orang dan Kolej INPENS yang dalam proses untuk berpindah ke kampus baru di Kuala Selangor dapat menampung seramai 500 orang pelajar.

  3. Apakah tindakan pihak kerajaan bagi menjamin setiap anak Selangor yang berjaya dapat meneruskan pengajian hingga ke menara gading?

    Bagi menjamin setiap ‘Anak Selangor’ yang layak untuk melanjutkan pengajian ke IPT, Kerajaan Negeri sedang merancang untuk meningkatkan projek pembangunan kampus dan asrama di IPT bawah pentadbiran Kerajaan Negeri. Di samping itu, terdapat tiga (3) agensi di bawah Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab mengendalikan urusan pemberian biasiswa, pinjaman dan dermasiswa kepada pelajar-pelajar bagi melanjutkan pengajian di IPTA/IPTS seluruh negara seperti berikut :-

    i) Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) yang
    menyediakan kemudahan Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah di IPTA/IPTS dalam pelbagai bidang;

    ii) Yayasan Selangor yang menyediakan kemudahan Biasiswa Kecil dan Biasiswa Khas kepada pelajar-pelajar Tingkatan 1 hingga 5, Dermasiswa kepada pelajar cemerlang Tingkatan 4 dan Pinjaman Pelajaran kepada pelajar-pelajar yang melanjutkan pengajian di IPTA dan IPTS (UNISEUKUIS/INPENS/IKYS); dan

    ii) Pusat Zakat Selangor/Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang memperuntukkan dermasiswa zakat, khusus kepada pelajar-pelajar beragama Islam yang melanjutkan pengajian di Timur Tengah.

    Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan kemudahan Pinjaman Pelajaran Tenaga Mahir (Fast Track) bagi pelajar-pelajar yang gagal mendapatkan tempat di IPTA dengan memberi peluang kedua (second chance) supaya mereka dapat menjalani latihan dan kursus-kursus yang diiktiraf oleh Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) dalam bidang kemahiran dan teknikal ke arah menyediakan keperluan tenaga mahir dalam pelbagai industri pada masa hadapan.
    Di samping itu, Kerajaan Negeri juga turut mewujudkan Program Khas Perubatan
    Luar Negara khusus untuk pelajar-pelajar cemerlang SPM Negeri Selangor bagi
    melanjutkan pengajian di luar negara dalam bidang yang ditentukan.

Lampiran

Tiada Lampiran.