Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009

55) PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

Tahun: 2009

Sesi: 3

Isu: Pembangunan Luar Bandar

Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status pendapatan per kapita penduduk luar bandar seperti Sabak Bernam, Kuala Langat, Kuala Selangor, Hulu Selangor dibandingkan dengan Petaling Jaya, Shah Alam dan Subang Jaya bagi tahun 2008?

    Pendapatan per kapita adalah di kira pada peringkat negara dan negeri sahaja dan
    berdasarkan Laporan Ekonomi Malaysia 2009/2010, pendapatan negara nominal pada
    tahun 2009 dijangka merosot 4.8% kepada RM681.0 bilion berbanding RM715.0 bilion
    pada tahun 2008. Pendapatan per kapita dari segi pariti kuasa beli (PPP) pula
    dianggarkan merosot 14.7% kepada USD12,826 berbanding USD15,040 pada tahun
    2008. Sehaluan dengan ekonomi negara, pendapatan per kapita negeri bernilai
    RM22,075 pada harga malar iaitu menguncup sebanyak 5.8% daripada tahun 2008.
    Dalam harga semasa pula, pendapatan per kapita negeri merosot kepada RM29,778
    berbanding RM32,772 pada tahun 2008. Dalam hal ini, ia membawa kepada
    kemerosotan taraf hidup dengan pendapatan per kapita dalam ukuran pariti kuasa beli
    merosot 6.6% kepada USD15,878 (2008 : USD19,116).

  2. Apakah rancangan kerajaan dalam mempertingkatkan pendapatan per kapita di kawasan luar Bandar?

    Tumpuan negeri Selangor adalah kepada peningkatan hasil padi dan pembangunan
    program keusahawanan bagi penduduk luar bandar. Dalam hal ini, kerajaan telah
    menyediakan Pelan Jangka Panjang 2009-2013 dalam usaha meningkatkan hasil
    penanaman padi di Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam seluas 18,355 hektar
    dengan penglibatan seramai 9322 pesawah. Pada ketika ini, purata hasil yang
    dicatatkan pada kedua-dua daerah tersebut masing-masing adalah 4.5 tan/hektar dan
    5.1 tan/hektar. Dengan pelaksanaan program ini, hasil padi dijangkakan meningkat
    kepada 7.5 tan/hektar bersamaan RM110 juta/tahun dan pendapatan per kapita
    pesawah juga dijangka meningkat daripada RM14,475 kepada RM20,475.
    Sebagai langkah permulaan, beberapa projek perintis telah di laksanakan di kedua-dua
    daerah tersebut di samping pemberian bantuan teknikal, latihan dan motivasi kepada
    pegawai pertanian, petani dan agensi pelaksana. Penggunaan teknologi moden seperti
    sistem CREST (Crop Establishment) atau penapakan tanaman, Knapsack-Powered
    Paddy Seed Row Seeder dan Teknik Satelit merupakan salah satu transformasi
    pertanian yang dijangka dapat merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk mencapai
    37% tanaman padi daripada keseluruhan guna tanah pertanian pada tahun 2010.
    Dalam usaha menggalakkan pembangunan usahawan, Kerajaan Negeri berhasrat
    melaksanakan beberapa program bagi mempertingkatkan hasil pendapatan penduduk,
    antaranya membina lebih banyak premis dan mewujudkan zon-zon industri kecil dan
    sederhana (IKS) di seluruh daerah. Usaha memperkasa modal insan akan diwujudkan
    melalui program inkubator dan menyediakan latihan keusahawanan di seluruh Negeri
    Selangor. Kerajaan Negeri mula melaksanakan program Satu Kampung, Satu Produk
    (SKSP) pada pertengahan tahun 2009 dalam usaha memperkenalkan produk-produk
    keluaran tempatan ke pasaran lebih luas. Melalui peruntukan Kerajaan Negeri, Program
    Pembangunan Usahawan yang bertujuan memberi bantuan mesin dan peralatan
    kepada kampung-kampung yang berpotensi dalam membangunkan produk- produk
    yang berkualiti turut akan diperluaskan. Seluruh daerah akan ditubuhkan One Stop
    Center (OSC) bagi tujuan pusat pengumpulan dan pemasaran produk-produk usahawan
    setempat. Ini secara tidak langsung dapat menjadikan perusahaan kampung ini lebih
    efisien.

Lampiran

Tiada Lampiran.