Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009

2) PERBEZAAN KEMAJUAN DI BAWAH PBT DAN PEJABAT DAERAH

Tahun: 2009

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Perbezaan ketara dari segi kemajuan kawasan di bawah pentadbiran PBT dengan pentadbiran di bawah pejabat Daerah melalui penghulu dan ketua-ketua kampung. Tidakkah perbezaan pentadbiran di atas menjadikan kawasan kampung terus ketinggalan?

    Untuk makluman, kawasan kampung tidak akan ketinggalan dari aspek pembangunan
    kerana dari segi perancangan telah mengambil kira kawasan perbandaran dan luar
    bandar. Yang membezakan adalah dari segi pengurusan sahaja yang dibahagikan iaitu
    kawasan operasi (dikenakan cukai) dan kawasan luar operasi (tidak dikenakan cukai).

  2. Mengapakah tidak disatukan kedua pentadbiran, agar penduduk kampung mendapat kemudahan yang didapati oleh penduduk di PBT?

    Kawalan secara dasarnya merangkumi semua kawasan termasuk bandar dan luar
    bandar seperti mana yang digariskan di dalam undang-undang sedia ada. Cuma yang
    membezakan adalah perkhidmatan perbandaran sahaja yang tidak diberikan kerana
    cukai taksiran tidak dikenakan. Sekiranya penduduk kampung bersetuju untuk
    dikenakan cukai taksiran agar perkhidmatan, maka pihak PBT akan memberikan
    perkhidmatan sewajarnya. Walau bagaimanapun perkara ini perlu mendapat
    persetujuan kesemua kampung yang terlibat di dalam kawasan yang dicadangkan untuk
    perluasan kawasan operasi yang mana akan melibatkan pembayaran cukai taksiran
    seperti mana rumah kediaman di kawasan bandar.

  3. Apakah faktor kemiskinan menyebabkan penduduk kampung tidak dapat diberi kemudahan yang sama kepada mereka seperti penduduk di taman-taman di bawah PBT?

    Faktor kemiskinan penduduk kampung sama sekali tidak dijadikan asas untuk
    pemberian perkhidmatan pembandaran. Faktor utama yang diambil kira adalah cukai
    taksiran yang dibayar oleh pemegang harta kepada PBT untuk menanggung kos
    perkhidmatan yang diberikan seperti yang telah diperuntukkan di dalam Akta 171.

Lampiran

Tiada Lampiran.