Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009

229) EKONOMI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2009

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila jelaskan dengan perangkaan persembahan prestasi ekonomi Negeri Selangor bagi Jan hingga Jun 2009?

    Ekonomi Negeri Selangor dianggar merekodkan penguncupan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) pada tahun 2009. Bagi keseluruhan tahun 2009, KDNK (harga malar tahun 2000) dijangka menguncup sebanyak 3.8% berbanding 4.9% pada tahun 2008. Sehaluan dengan persekitaran ekonomi dunia dan ekonomi negara yang menguncup, jumlah nilai tambah negeri bagi tahun 2009 dianggarkan menurun ke RM114,326 juta dalam harga malar berbanding RM118,862 juta pada tahun 2008. Dalam harga semasa, ia dianggarkan bernilai RM154,223 juta pada tahun 2009 berbanding RM166,192 juta pada tahun 2008. Ini menghasilkan pendapatan per kapita negeri bernilai RM22,075 pada harga malar iaitu menguncup sebanyak 5.8% daripada tahun 2008. Dalam harga semasa pula, pendapatan per kapita merosot ke RM29,778 berbanding RM32,772 pada tahun 2008. Dalam hal ini, ia membawa kepada kemerosotan taraf hidup dengan pendapatan per kapita dalam ukuran pariti kuasa beli dianggarkan merosot kepada 6.6% ke USD15,878 (2008 : USD19,116).

  2. Apakah kelemahan Negeri Selangor dalam pembangunan ekonomi bagi tempoh Jan hingga Jun 2009?

    Selangor sebagai negeri yang berada di dalam negara yang mengamalkan ekonomi terbuka terjejas akibat penguncupan eksport negara yang disebabkan oleh krisis kewangan dan kemelesetan ekonomi dunia. Sehaluan dengan perkembangan ekonomi dunia dan ekonomi negara yang sedang di dalam proses pemulihan, ekonomi Selangor juga sedang mengalami proses pemulihan yang sederhana. Pemulihan ekonomi negara dijangka berlaku secara perlahan dan bakal berhadapan dengan beberapa cabaran dan halangan pemulihan. Berdasarkan analisis Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), pemulihan tidak lancar (rocky road) ini adalah berikutan daripada kelemahan dasar fiskal, perangkap kecairan dan ketidakstabilan pasaran mata wang dunia. Negara juga bakal berhadapan dengan beberapa isu global dan lokal seperti protracted global recession (krisis ekonomi yang berlarutan), rise of protectionism, pengembangan defisit fiskal, kerapuhan pasaran mata wang, kestabilan politik negara dan penularan gejala influenza H1N1.

  3. Sila nyatakan apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor berdasarkan kelemahan-kelemahan dari Jan hingga Jun 2009?

    Bagi memperkukuhkan dan memulihkan pertumbuhan ekonomi negeri, tumpuan masih diberikan kepada agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang menekankan kepada lima (5) strategi utama iaitu :

     

    Pertama: Merakyatkan ekonomi Selangor (MES)
    Kedua: Mempertingkat hasil pendapatan negeri
    Ketiga: Memperkasa modal insan
    Keempat: Mengurus perbelanjaan dengan cekap
    Kelima: Memantapkan pembangunan Negeri Selangor

     

    Selain itu, pihak kerajaan sentiasa memastikan perbelanjaan dibuat secara berhemat dan ‘value for money’ selain daripada memastikan tadbir urus kerajaan dan sistem penyampaian perkhidmatan berada di tahap yang cemerlang. Dalam usaha memulihkan ekonomi negeri, kerajaan juga sedang melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Selangor dengan nilai sebanyak RM50 bilion dalam bentuk Private Finance Initiative (PFI). Melalui pakej ini, enam(6) bidang utama telah digariskan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi negeri Selangor untuk jangka pendek dan jangka panjang. Enam (6) bidang tersebut ialah:

     

    • Pemulihan dan pembersihan sungai Klang yang melibatkan pembangunan kawasan perumahan di sepanjang sungai dan tanah rizab;

     

    • Perluasan sistem pengangkutan bagi seluruh negeri Selangor termasuk perluasan Sistem Transit Aliran Ringan (STAR);

     

    • Penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor;

     

    • Pembaharuan aktiviti di bandar iaitu menumpukan usaha terhadap pembangunan semula kawasan terbiar di Petaling Jaya dan Klang;

     

    • Pembangunan semula projek-projek perumahan yang terbengkalai; dan

     

    • Peningkatan hasil padi.

     

    Melalui enam bidang ini dan strategi bajet yang holistik, Kerajaan Negeri yakin bahawa ia akan mampu menyediakan lebih 150 ribu peluang pekerjaan dan membuka banyak peluang perniagaan dan pelaburan bagi merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.