Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009
185) KRISIS EKONOMI (KENAIKAN HARGA BARANG)
Tahun: 2009
Sesi: 3
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Nasir Bin Hashim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Rakyat miskin masih ditekan oleh masalah Krisis Ekonomi dan kenaikan harga barangan dan makanan. Kerajaan Negeri telah pun menghulurkan bantuan terhadap mereka yang malang. Bagaimanakah program-program ini disalurkan dan apakah garis pengukur terhadap keberkesanannya?
Kerajaan Negeri sentiasa peka dan prihatin tentang masalah krisis ekonomi dan kenaikan harga barang dan makanan. Justeru, melalui Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin, Kerajaan Negeri telah memberi bantuan serta mengagihkan bekalan barangan keperluan harian seperti beras, gula, susu serta barangan keperluan harian lain kepada setiap kawasan DUN di negeri Selangor. Memanglah bantuan yang diberi itu hanyalah bantuan berbentuk jangka pendek di mana bantuan tersebut tidak dapat membantu meningkatkan masalah rakyat miskin yang ditekan oleh kenaikan harga barang, namun bantuan tersebut dapat sedikit-sebanyak mengurangkan beban golongan miskin.
-
Adakah kerajaan berusaha untuk menawarkan kerja baru bagi mereka yang berjaya mengikuti kursus dan latihan?
Kerajaan Negeri turut menawarkan peluang latihan kepada pekerja yang diberhentikan atau yang berkemungkinan diberhentikan melalui institusi-institusi latihan di negeri Selangor yang telah mendapat pengiktirafan dan pentauliahan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia. Kos latihan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Manusia yang akan mengambil masa satu (1) hingga enam (6) bulan mengikut modul kursus. Di samping itu, para pelatih juga akan turut diberi elaun minima sebanyak RM500.00 hingga maksimum RM800.00 sebulan bergantung kepada kelayakan status sama ada bujang ataupun telah berkahwin bagi meringankan beban menjalani kehidupan seharian. Dengan latihan yang diberikan ini membolehkan mereka diserap ke sektor yang masih memerlukan pekerja seperti sektor pelancongan, perhotelan dan perladangan. Ia juga dilihat antara langkah yang dapat mengurangkan kos operasi majikan yang terlibat sekali gus mengelakkan kemungkinan pekerja-pekerja diberhentikan.
Selain itu, Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan yang dipengerusikan oleh YB Puan Dr. Halimah Binti Ali dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Selangor akan melaksanakan Program Jom Kerja di seluruh daerah di negeri Selangor dengan lokasi pertama ialah di Sekinchan, Selangor pada 7 – 8 November 2009.
Melalui program ini, syarikat-syarikat yang berminat akan mendaftar dengan pihak JTK Selangor dan menyertai program ini dengan mengadakan walk-in interview. Selain membantu menyediakan peluang kerjaya kepada masyarakat di Negeri Selangor khusus terhadap golongan belia dan ibu tunggal ia juga dapat membantu Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha meminimumkan gejala sosial di Negeri Selangor.