Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

128) BANGUNAN-BANGUNAN YANG TERBENGKALAI DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Lee Ying Ha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan jumlah bangunan terbengkalai di setiap PBT dan jumlah bangunan yang sudah melanjutkan pembangunan sejak tahun 2008

    Untuk makluman Yang Berhormat sehingga kini sebanyak 144 buah projek terbengkalai di Negeri Selangor yang telah dikenal pasti melibatkan 49,451 pembeli. Pecahan projek terbengkalai mengikut PBT adalah seperti berikut :

     

     

    STATISTIK PROJEK TERBENGKALAI DI NEGERI SELANGOR

     

     

     

    BIL PIHAK BERKUASA TEMPATAN JUMLAH UNIT
    1 MAJLIS BANDARAYA SHAH ALAM 19 5,480
    2 MAJLIS PERBANDARAN KLANG 28 4,061
    3 MAJLIS BANDARAYA PETALING JAYA 7 2,996
    4 MAJLIS PERBANDARAN AMPANG JAYA 13 3,022
    5 MAJLIS PERBANDARAN SUBANG JAYA 10 9,208
    6 MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG 16 2,936
    7 MAJLIS PERBANDARAN KAJANG 11 4,202
    8 MAJLIS DAERAH KUALA LANGAT 8 962
    9 MAJLIS DAERAH HULU SELANGOR 11 5,405
    10 MAJLIS DAERAH KUALA SELANGOR 13 7,238
    11 MAJLIS PERBANDARAN SEPANG 8 3,941
    JUMLAH 144 49,451

     

    Setakat ini sebanyak 17 Projek Terbengkalai telah berjalan semula dan senarai projek seperti di lampiran A.

  2. Bagaimanakah pemaju-pemaju yang berminat dalam memajukan Negeri Selangor boleh tender kerja pembangunan tersebut?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Menteri diberi kuasa di bawah Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989 untuk melantik syarikat baru mengambil alih pemaju perumahan yang tidak memenuhi obligasi tanpa merujuk kepada Menteri Kewangan terlebih dahulu (subseksyen 11(1) (c) Akta 118).

     

    Sehubungan itu, kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa atau “locus standi” untuk membuka tender bagi memulihkan projek terbengkalai.

     

    Walau bagaimanapun, buat masa kini satu Jawatankuasa Task Force Projek Terbengkalai yang dipengerusikan oleh Y.B. Saari Sungib ADUN Hulu Kelang telah ditubuhkan di mana 5 Konsultan yang berminat untuk memulihkan projek ini iaitu Rimbun Capital Sdn. Bhd., RSS-PMC Sdn Bhd., Crimson Landscape Sdn Bhd, SSF Corporation Sdn Bhd dan SMY Capital Sdn Bhd telah bekerjasama dengan  jawatankuasa ini bagi membantu untuk menilai semula sama ada projek  terbengkalai tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan. Setakat ini sebanyak 136 projek daripada 144 projek yang terbengkalai di Negeri Selangor dalam proses kajian pihak konsultan.

  3. Apakah sistem pemantauan yang telah diwujudkan sejak tahun 2008 supaya mengelak pemaju melarikan diri tanpa menyiapkan kerja-kerja mereka?

    Untuk makluman Yang Berhormat, sistem pemantauan sedia ada telah diperuntukkan di bawah Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).

     

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah meminta KPKT untuk meningkatkan penguatkuasaan di bawah Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) melalui  pemantauan 6 bulan sekali di mana pemaju di wajib menghantar Borang 7F untuk memaklumkan status terkini kedudukan projek yang sedang dibina.

    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan juga memantau secara dekat di mana Jadual Kedua Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 menghendaki pemaju mengemukakan Borang-borang A, B, C, D dan E kepada PBT dan salinan borang-borang tersebut perlu dikemukakan kepada LPHS bagi tujuan pemantauan. Dengan mengemukakan salinan-salinan borang tersebut LPHS akan dapat mengenal pasti sekiranya berlaku masalah terhadap sesebuah projek dan tindakan awal akan dapat dijalankan.

     

    LPHS  melalui sistem pendaftaran pemaju akan memantau terus projek   di mana pemaju dikehendaki berdaftar dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sekiranya ingin menjalankan pembangunan perumahan dalam tempoh 30 hari dari tarikh Kebenaran Merancang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Selain dari itu mereka turut dikehendaki mengemukakan laporan status projek berserta jadual kerja bagi setiap projek pembangunan di Selangor bagi tujuan pemantauan dan setiap projek dijalankan mengikut jadual. Dengan sistem pendaftaran pemaju ini juga  LPHS juga akan bertindak sebagai ‘one stop centre’ di mana semua maklumat dikumpulkan dan diedarkan kepada semua Bank, PBT dan KPKT sebagai sistem amaran awalan sekiranya berlaku projek terbengkalai. Lawatan ke tapak projek akan dijalankan dari masa ke semasa bersama pihak perunding projek, bank-bank berkenaan dan PBT sekiranya projek tersebut menunjukkan ciri-ciri projek akan bermasalah.