Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
118) OSCC
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimanakah pembentukan OSCC dapat membantu golongan wanita?
Pusat Khidmat Krisis Sehenti atau lebih dikenali dengan singkatan OSCC adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk mempromosi perkhidmatan kaunseling dan khidmat nasihat yang telah sedia ada di hospital-hospital kerajaan di negeri Selangor seperi Hospital Ampang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Serdang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan Hospital Kajang.
Kerajaan Negeri yakin bahawa program-program promosi ke atas OSCC membolehkan rakyat di Selangor khususnya kaum wanita yang memerlukan khidmat kaunseling yang disediakan di hospital berkenaan. Kempen promosi OSCC yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri meliputi pendedahan kepada orang ramai mengenai perkara-perkara seperti berikut :
- Fungsi dan peranan OSCC;
- Peruntukan undang-undang yang memberi perlindungan kepada orang ramai termasuk wanita, kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan dan keganasan; dan
- Jenis-jenis keganasan fizikal dan mental.
Kempen promosi seperti ini pastinya memberi pengetahuan dan pendedahan kepada orang ramai mengenai kemudahan yang sedia ada. Kesan signifikan yang wujud adalah kesedaran orang ramai tentang kewujudan perkhidmatan OSCC semakin meningkat. Ramai orang dapat memahami fungsi serta peranan OSCC dalam memberi rawatan dan perkhidmatan yang menyeluruh kepada mangsa-mangsa keganasan yang datang ke OSCC yang terdapat di hospital-hospital kerajaan di Selangor. Kerajaan Negeri telah dapat maklum balas yang positif terutamanya Badan Bukan Kerajaan (NGO) di mana mereka menyatakan kesudian dalam membantu Kerajaan Negeri untuk melaksanakan kempen kesedaran di seluruh Selangor.
-
Apakah program-program yang akan dilancarkan oleh kerajaan untuk membantu golongan wanita khususnya ibu tunggal dalam membantu mereka menghadapi cabaran hidup?
- Dalam memastikan pembangunan ekonomi yang mantap terhadap golongan wanita Negeri Selangor umumnya dan golongan ibu tunggal khasnya, Kerajaan Negeri Selangor bersama-sama agensi berkaitan telah menyediakan pelbagai bantuan untuk membantu golongan ini. Demi memastikan golongan ini dapat mengharungi cabaran di masa hadapan, bantuan yang diberikan mampu menjana pendapatan ekonomi mereka. Antara bantuan tersebut adalah:-
- Bantuan Usahawan
Bantuan ini diberikan kepada semua wanita termasuk ibu tunggal untuk memastikan mereka mampu menjana pendapatan mereka, bantuan dari segi peralatan serta asas kemahiran diberikan agar mereka dapat memajukan diri serta perusahaan yang mereka laksanakan.
Bantuan ini diberikan kepada mereka yang layak di mana mereka akan diberikan bantuan dalam bentuk peralatan dan keperluan-keperluan lain. Melalui bantuan ini, ibu-ibu tunggal dapat menceburi bidang keusahawanan dan seterusnya menjana pendapatan tambahan
- Kursus Keusahawanan dan Kemahiran
Kerajaan Negeri Selangor bersama-sama dengan agensi di bawahnya serta beberapa agensi bukan kerajaan (NGO) sering menjalankan kursus kepada kaum ibu tunggal. Tujuan kursus ini diadakan adalah untuk memberi kemahiran tambahan kepada ibu tunggal. Dengan kemahiran tersebut, mereka dapat memulakan perusahaan yang bermula dari rumah. Kursus yang diberikan adalah kompeten dan mampu menjadikan ibu tunggal berdaya saing di dalam mengharungi ketidaktentuan ekonomi masa hadapan.
- Penubuhan Seketeriat Majlis Pemuafakatan Wanita Selangor (MPWS)
Penubuhan MPWS bertujuan dijadikan sebagai ‘think tank’ kepada
Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita (HEWA) dalam hal-hal berkaitan wanita. Majlis ini bertindak sebagai penggerak kerja dan juga sebagai agen kepada Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program-program yang memberikan impak kepada kaum wanita khususnya ibu tunggal dan seterusnya memperkasakan pembangunan wanita di Negeri Selangor.
- Pusat Komuniti Wanita
Seiring dengan kehendak kerajaan yang memfokuskan kepada perpaduan kaum, Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan dengan menubuhkan beberapa pusat komuniti wanita untuk semua kaum.
Dengan menubuhkan pusat komuniti sebegini, kaum wanita dari pelbagai bangsa dan budaya dapat berkumpul dan bekerjasama untuk menyatupadukan hubungan antara mereka. Selain itu, pusat ini dijadikan sebagai tempat yang mampu menjana pendapatan kaum wanita melalui perkongsian ilmu dan kemahiran yang akhirnya mampu dijadikan sebagai punca pendapatan sampingan untuk keluarga.
Pusat komuniti ini juga memainkan peranan dalam memberikan informasi yang akan disampaikan dari pihak Kerajaan Negeri. Sehubungan itu, kaum wanita tidak akan ketinggalan didalami memperoleh maklumat-maklumat terkini dari pihak kerajaan.