Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
107) MASALAH PENGANGGURAN
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: pekerjaan
Adun: Y.B. Tuan Yap Ee Wah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah kadar pengangguran di Negeri Selangor?
Berdasarkan Laporan Ekonomi Negeri Selangor 2007/2008, pengangguran bagi negeri Selangor pada tahun 2008 adalah pada kadar 3.4%. Kadar ini adalah stabil dari tahun 2007 hasil daripada peningkatan jumlah tenaga buruh, peningkatan semula penduduk dan jumlah yang memasuki pasaran pekerjaan diimbangi oleh pertambahan peluang pekerjaan di dalam sektor industri dan perkhidmatan. Kesan daripada kemerosotan ekonomi global, Kerajaan Negeri dengan kerjasama pihak Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan bahawa kadar pengangguran bagi tahun 2009 akan meningkat sebanyak 0.6% akibat daripada aktiviti pemberhentian pekerja. Namun demikian, Kerajaan Negeri akan terus memantau dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam memastikan kadar pengangguran di negeri ini berada di tahap paling minima.
-
Selangor merupakan negeri yang maju, akan tetapi kadar penganggurannya kian meningkat. Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri dalam menangani masalah pengangguran ?
Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Menangani Masalah Pemberhentian Pekerja di Negeri Selangor pada 30 Januari 2009 bertujuan untuk memantau, mengumpul maklumat dan maklum balas serta membincangkan bentuk bantuan yang boleh ditawarkan bagi menangani isu pemberhentian pekerja khususnya di negeri Selangor. Jawatankuasa ini mengadakan mesyuarat pada hari Jumaat setiap minggu dan antara agensi yang terlibat adalah:
- Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN);
- Selangor State Investment Corporation (SSIC) Berhad;
- Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Selangor;
- Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Tengah;
- Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Selangor;
- Jabatan Imigresen Negeri Selangor;
- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor;
- Lembaga Zakat Selangor (LZS);
- Persatuan Pengilang Malaysia (FMM);
- Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF); dan 11) Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC).
Antara langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah ini adalah seperti berikut:
- Membuka kaunter pendaftaran khas bagi pendaftaran pekerja yang diberhentikan pada setiap hari Sabtu di setiap Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran di seluruh negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi mengenal pasti bentuk bantuan menerusi program sedia ada yang boleh diberikan sama ada dalam bentuk bantuan sara hidup, pendidikan, sewa rumah, bantuan modal dan lain-lain;
- Membangunkan Selangor Retrenchment Helpline iaitu pendaftaran secara online bagi tujuan pengumpulan maklumat pekerja yang diberhentikan serta penyuaipadanan (match-making) antara pekerja tersebut dengan kekosongan di syarikat yang berdaftar di bawah sistem tersebut berdasarkan kelayakan dengan kerjasama pihak Jobstreet.com Sdn. Bhd.;
- Menawarkan bantuan-bantuan latihan kepada pekerja yang diberhentikan dan yang berkemungkinan diberhentikan dengan kerjasama institusi latihan di negeri Selangor yang mendapat tauliah daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia melalui program Train & Place di mana elaun akan diberikan kepada pelatih sepanjang tempoh latihan. Langkah ini juga membolehkan mereka yang diberhentikan diserap ke sektor yang masih memerlukan pekerja seperti pelancongan dan perhotelan. Ia juga dilihat antara langkah yang dapat mengurangkan kos operasi kepada majikan yang terlibat sekali gus mengelakkan kemungkinan pekerja-pekerja berkenaan diberhentikan;
- Menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pemudah cara (PEMUDAH) Negeri Selangor yang bertujuan untuk memberi maklum balas segera dan pantas terhadap segala isu yang dihadapi oleh syarikat, para pelabur serta rakyat di negeri Selangor; dan
- Melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Menangani Masalah Pemberhentian Pekerja pada 29 Mei 2009, Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor telah memutuskan bahawa fokus Selangor Retrenchment Helpline (SRH) telah diperluaskan bukan sahaja kepada mereka yang diberhentikan kerja malah ia turut dibuka kepada belia dan graduan yang menganggur.
Selain itu, melalui pelaburan yang ditarik masuk oleh SSIC Berhad dari bulan Januari hingga Mac 2009, telah menyumbang kepada empat (4) ribu peluang pekerjaan di negeri Selangor.